rap

'Saya bukan senior'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MEMULAKAN langkah dalam industri hiburan sebagai pelakon memberikan ruang buat Naim Daniel yang juga penyanyi menimba pelbagai ilmu dalam dunia seni.

Terbaharu, Naim berpeluang untuk kembali bekerjasama dengan pengarah kegemarannya, Kabir Bhatia menerusi filem TV (FTV) berjudul Aku, Bunga.

Menurut penyanyi lagu Sumpah dan Sembah itu, dia menerima tawaran Kabir untuk terbabit dalam FTV ini kerana tahu akan ada sesuatu yang tidak dijangka dalam wataknya.

"Apabila dihubungi Kabir dan ditawarkan untuk berlakon dalam FTV ini, saya tak berfikir panjang dan terus terima kerana saya tahu, mesti ada 'sesuatu'. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahannya adalah menerusi filem Bisik Pada Langit pada 2017," katanya.

Bergandingan dengan penyanyi rap yang kini bergelar pelakon, Bunga Isme, Naim yang membawa watak sebagai Kahoe tidak pernah melabelkan dirinya sebagai pelakon senior berbanding Bunga.

"Saya bukan senior atau apa kerana saya sendiri banyak belajar daripada orang lain. Semua pelakon bekerja keras untuk menjayakan FTV ini.

"Saya memang sudah mengenali Bunga sejak program 16 Baris. Dia banyak bertanya dan saya kongsikan apa yang saya tahu mengenai perkembangan watak dan sebagainya," katanya.

Bercerita mengenai karya baharu ini, Aku, Bunga mengangkat kisah mengenai anak muda yang memperjuangkan hidupnya dan juga muzik hip hop.

"Berbeza berbanding karya yang saya pernah lakonkan sebelum ini, Aku, Bunga mengetengahkan jalan cerita mengenai anak muda yang punya minat dalam muzik hip hop serta rap.

"Jadi, cara pembawakan watak juga berbeza buat saya dan itulah yang saya anggap 'sesuatu' daripada air tangan Kabir," katanya.

Terbaru, Naim juga sedang mempromosikan singlenya, Sembah yang kini mula mencuri perhatian ramai pendengar.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 6:45am
d