rap

Mesej tersembunyi dalam lagu

Oleh Susunan Ridzuan Abdul Rahman

PERJALANAN hidup penyanyi jelita Taylor Swift, 30, sememangnya penuh berliku.

Dan, dia mengabadikannya menerusi mesej tersembunyi dalam lagu-lagu, muat naik di media sosial sehinggalah muzik video yang meninggalkan makna tersendiri.

Terbaharu penyanyi bernama sebenar Taylor Alison Swift ini bertindak mendedahkan beberapa teka-teki di sebalik pembikinan muzik video lagu Cardigan yang dimuatkan dalam album terbaharunya, Folklore.

Swift secara khusus mendedahkan beberapa fakta di sebalik muzik video lagu Cardigan yang dilancarkan pada 24 Julai lalu.

Pesan tersembunyi

Pada bahagian awal saat ke-22 terpampang foto lelaki serta sebuah lukisan di dinding ruangan tempat Swift bermain piano.

Lelaki itu adalah datuknya, Dean. Kisah hidup datuknya itu juga menjadi rujukan dalam lagu berjudul Epiphany.

Sementara itu, lukisan yang berada di sisi kanan atas foto itu dilukis sendiri oleh Swift. Ia dihasilkan pada minggu pertama kuarantin akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, jarum jam yang mengarah ke angka 1 dan 3 menjadi simbol 13 yang juga angka kegemaran dan tarikh lahir Swift.

Makna dan konsep video

Latar hutan dalam muzik video Cardigan mewakili awal suatu hubungan ketika semuanya terasa magis dan penuh keindahan.

Sementara itu, adegan di tengah lautan melambangkan isolasi dan ketakutan ketika suatu hubungan bermasalah.

Adegan kemudian kembali ke tempat awal iaitu sebuah pondok. Saat itu menandakan Swift menemui dirinya kembali selepas kehilangan cinta.

Pada babak terakhir menyaksikan pakaian Swift basah kuyup. Menurut Swift, itu menandakan dia sudah berubah seiring perjalanan yang dilalui.

Namun dari sisi lain, dia akan tetap menemukan jati dirinya kembali.

Dalam proses penghasilan muzik video Cardigan, Swift dibantu pengarah fotografi Rodrigo Prieto yang sebelumnya terbabit dalam klip video The Man.

Ketika menggarap projek Cardigan, Swift mengakui terinspirasi beberapa latar masa dan filem fantasi yang ditontonnya.

Dia kemudian mengirimkan konsep video buatannya serta rujukan visual tiap babak, termasuk foto-foto, gambar, serta 'storyboard' kepada Prieto.

Disebabkan situasi pandemik Covid-19, Swift menata rambut dan menyolek wajahnya sendiri. Dia juga turut menggunakan gaun malam miliknya sendiri.

Selama proses penggambaran, petugas kesihatan berada di lokasi dan menggunakan sinar UV serta menyembur pembasmi kuman ke piano.

Efek khas tulisan Folklore di piano yang digunakan Swift hanya baharu ditambah pada hari pelancaran.

Ketika proses suntingan, Swift dan penyunting video, Chandler Haynes bekerjasama secara jarak jauh dari lokasi masing-masing.

Cerita cinta tiga segi

Secara keseluruhan, dalam album Folklore, Swift mengembangkan cerita watak dan tema yang sama di semua lagu. Yang membezakan antaranya hanyalah sudut pandang di setiap lagu.

Berdasarkan pengakuannya, ia menerokai cinta tiga segi remaja dalam tiga lagunya di album berkenaan.

"Terdapat koleksi dari tiga lagu yang merujuk pada cerita cinta tiga segi remaja (dalam fikiran saya). Tiga lagu ini menerokai cinta tiga segi di musim panas dan mengambil perspektif tiga orang ini dari waktu yang berbeza dalam hidup mereka," katanya.

Swift berkata, ia seperti satu peristiwa yang terjadi di dalam diri mereka sendiri dan mempengaruhi diri mereka secara berbeza.

Disiarkan pada: August 22, 2020 @ 6:48am
d