rap

Alina lepas geram

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

VOKAL yang mantap ditambah dengan komunikasi yang lancar serta persembahan bertenaga, jelas membuktikan kehebatan tersendiri Alina Hassan sebagai penghibur.

Lama tidak beraksi atas pentas besar, Alina, 52, seakan lepas geram apabila berjaya menghiburkan hampir 200 tetamu pada majlis Program Makan Malam Bersama Wanita Prihatin Ampang sempena Di Ambang Kemerdekaan 2020 di sebuah hotel di Ampang, Selangor, Sabtu lalu.

Jelas sekali faktor usia bukan penghalang buatnya untuk mempamerkan persembahan cemerlang, sekali gus meninggalkan kenangan tersendiri buat mereka yang hadir.

Alina yang mengenakan pakaian baju kurung kuning tampil membuka persembahan menerusi lagu Gelombang nyanyian asal Salamiah Hassan.

Lagu yang membawa tuah kepadanya sehingga diangkat sebagai juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 itu dibawakan dengan penuh perasaan dan mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

Dia seterusnya berceloteh seketika sebelum menyanyikan lagu kedua iaitu karya patriotik berjudul Bahtera Merdeka yang pernah dipopularkan Allahyarham Datuk Ahmad Jais serta penyanyi, Aishah Ariffin.

Sikap mesra dan ramah Alina selaku pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 dilihat mempunyai keyakinan tinggi ketika berkomunikasi dengan peminatnya.

Ada saja dialog lucu mencuit hati dilontarkan bertujuan mengusik peminat yang sentiasa setia menyokongnya.

Alina nyata berjaya mengubah suasana menerusi lagu berkonsep balada kepada mood rancak bertenaga.

Malah, apabila dia memilih menyampaikan lagu I Will Survive nyanyian asal Gloria Gaynor itu membuktikan betapa vokalnya sangat mantap.

Tidak terkecuali, Alina juga mengundang dua penonton untuk menari bagi mengiringi persembahannya atas pentas dan tindakan itu berjaya menggamatkan suasana.

Lontaran vokal sangat berkesan, meskipun dia menyanyikan pelbagai rentak lagu, sekali gus meletakkannya sebagai penyanyi versatil.

Alina seterusnya memilih menyanyikan lagu tradisional irama joget berjudul Joget Tari Lenggang nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Ketika ini, keghairahan peminat sukar dibendung apabila ada yang menyanyi dan turut berjoget dengannya atas pentas serta di bahagian tempat duduk.

Mengakhiri persembahannya, penyanyi berasal dari Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka itu memilih menyanyikan lagu Ah Rindu Lagi nyanyian asal Amelina.

Alina melahirkan perasaan gembiranya apabila persembahan dilakukan selepas mendapat maklum balas positif dan kerjasama baik daripada peminat.

"Syukur kerana saya dijemput terbabit mengadakan persembahan pada majlis ini. Rata-rata yang datang ini, semuanya 'sporting' apabila diajak bersama menyanyi dan menari.

"Apapun saya gembira kerana tiada sebarang komen negatif yang diberikan. Tambahan pula, saya pun dah lama tak beraksi dalam persembahan sebegini," katanya.

Kata Alina, dia menyimpan harapan semoga ada peluang sebegitu lagi diberikan kepadanya pada masa akan datang untuk terus menghiburkan orang
ramai.

Disiarkan pada: August 26, 2020 @ 6:30am
d