rap

Hujan Emas semarak Hari Kebangsaan ke-63

Oleh Norhayati Nordin

 

RANHILL SAJ menerbit dan melancarkan filem pendek berjudul Hujan Emas sempena meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Filem berdurasi lapan minit dan 55 saat itu sudah boleh ditonton di saluran YouTube miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr Nor Ifuan Md Nor berkata, Ranhill SAJ buat julung kali tampil menghasilkan filem pendek istimewa.

"Filem Hujan Emas ini cukup menarik kerana dimuatkan dengan unsur keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

"Ternyata, mesej disampaikan jelas mengenai rakyat Malaysia yang menggabungkan watak berasal dari Johor dan Sabah.

"Sekali gus, ia menepati objektf semarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September," katanya.

Menurutnya, Hujan Emas juga menghayati nilai-nilai keunikan di Malaysia dan turut menyatukan unsur air sebagai metafora kehidupan.

"Justeru, ia juga bertepatan dengan tanggungjawab utama Ranhill SAJ sebagai pembekal air di Johor," katanya.

Menurut beliau, penghasilan filem pendek itu adalah program tanggungjawab sosial korporat Ranhill SAJ dalam menyokong usaha kerajaan untuk terus memupuk semangat cintakan negara.

Secara ringkas, Hujan Emas mengisahkan mengenai warga Malaysia berasal dari Johor bernama Sulaiman yang menetap di London selama 20 tahun.

Dia juga berhasrat untuk mendapatkan kerakyatan British dan meninggalkan tanah air buat selama-lamanya.

Wujud kemelut dalam diri Sulaiman, apakah keputusannya itu betul. Apatah lagi, selepas pertemuannya dengan seorang seorang wanita.

Wanita yang berasal dari Sabah dan mengembara ke serata pelusuk dunia itu tetap memilih Malaysia.

Situasi itu, menambahkan lagi keraguan Sulaiman dalam keputusannya. Justeru, apakah akan menjadi pilhan Sulaiman? Semuanya boleh disaksikan dalam Hujan Emas.

Disiarkan pada: August 27, 2020 @ 4:21pm
d