rap

Sedia bernikah muda

Oleh Susunan Norhayati Nordin

SEJAK mengumumkan akan bernikah tidak lama lagi, penyanyi Aurel Hermansyah, 22, dan pasangannya yang juga YouTuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar, 25, makin menjadi perhatian.

Malah, pasangan muda ini juga sering mendapat undangan wawancara pada kalangan selebriti yang juga YouTuber untuk berkongsi kisah mereka.

Terbaharu, Aurel dan Atta muncul dalam wawancara bersama Ayu Dewi yang mengungkap banyak pertanyaan bagaimana kehidupan mereka selepas berumah tangga nanti.

Antaranya, Aurel ditanyakan apakah Atta akan dikawal pergerakannya dengan perlu selalu meminta izin jika mahu ke mana-mana?

Aurel berkata, dia tidak akan mengongkong Atta, tetapi cukup sekadar bakal suaminya itu memaklumkan dia mahu ke mana.

"Cukuplah, Atta memberitahu saya dia ke mana. Tidak perlu meminta izin untuk keluar pun. Saya tidak mahu mengawal kehidupannya.

"Kami mahu menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia. Saling menghormati dan tolak ansur. Saya yakin dengan Atta," katanya.

Bagi Atta pula dia percaya dirinya tidak akan terlalu dikawal oleh Aurel selepas mereka sah bergelar suami dan isteri tidak lama lagi.

Terdahulu, kisah cinta Aurel dan Atta cukup jadi perhatian selepas lelaki berkenaan membuat lamaran ketika meraikan hari lahir anak sulung Anang Hermansyah bersama bekas isteri, Krisdayanti.

Malah, Aurel juga menyatakan kesediaannya bernikah muda dan yakin hubungan cinta dengan Atta yang tulus itu akan bahagia.

Ditambah, hubungan cinta dijalin pasangan selebriti popular ini sudah mendapat restu ibu bapa dan keluarga masing-masing.

Sehingga kini, kisah hubungan Aurel dan Atta begitu menarik perhatian terutama pada kalangan masyarakat dan warganet di Indonesia.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 6:15am
d