rap

Filem pendek istimewa

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN negara belum bebas daripada pandemik Covid-19, namun rasa cinta pada Malaysia tetap tinggi.

Apatah lagi, tahun ini Hari Kemerdekaan ke-63 yang dirai dengan disusuli norma baharu kehidupan.

Justeru, bagi meraikan kemeriahan merdeka kali ini, Ranhill SAJ menerbit dan melancarkan filem pendek berjudul Hujan Emas.

Filem berdurasi lapan minit dan 55 saat itu kini boleh ditonton di saluran YouTube miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sr Nor Ifuan Md Nor berkata, Ranhill SAJ buat julung kali tampil menghasilkan satu filem pendek istimewa.

"Filem Hujan Emas ini cukup menarik kerana dimuatkan dengan unsur keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

"Sekali gus ia menepati objektf semarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September," katanya.

Penghasilan filem Hujan Emas adalah program tanggungjawab sosial korporat Ranhill SAJ dalam menyokong usaha kerajaan untuk terus memupuk semangat cintakan negara.

Secara ringkas, Hujan Emas mengisahkan seorang warga Malaysia berasal dari Johor bernama Sulaiman yang menetap di London selama 20 tahun.

Dia juga berhasrat untuk mendapatkan kerakyatan British dan meninggalkan tanah air buat selama-lamanya.

Wujud kemelut dalam diri Sulaiman, apakah keputusannya itu betul. Apatah lagi, selepas pertemuannya dengan seorang wanita Sabah.

Malah, wanita yang sudah mengembara ke serata pelosok dunia itu tetap setia memilih Malaysia untuk didiami.

Justeru, situasi itu menambahkan keraguan Sulaiman dalam keputusannya. Apakah pilhan Sulaiman? Semuanya boleh disaksikan dalam filem pendek Hujan Emas.

Sehubungan itu, barisan pelakon yang terbabit dalam karya menarik ini ialah Fahrin Ahmad, Kuza, Aishah Bujang dan Nik Haifan.

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 6:18am
d