rap

Mira Filzah adakan majlis khatam al-Quran ganti majlis berinai 

Oleh Najiy Jefri

PELAKON jelita Mira Filzah yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan Wan Emir Astar, anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid selamat melangsungkan majlis khatam al-Quran di kediamannya di Bangi, hari ini.

Mira ketika ditemui berkata, dia tidak mengadakan majlis berinai kerana tidak digalakkan keluarganya dan ia digantikan dengan majlis khatam al-Quran.

"Alhamdulillah, majlis secara sederhana ini berjalan lancar. Ia diadakan atas permintaan keluarga dan kehendak bersama. Keluarga tak menggalakkan membuat majlis berinai. Lagipun majlis khatam al-Quran lebih baik untuk diadakan sebelum menuju ke gerbang perkahwinan," katanya.

Dalam masa sama, Mira masih merahsiakan tarikh rasmi majlis pernikahannya dengan Wan Emir yang dijangka akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.  

Pada majlis khatam al-Quran yang hanya dihadiri keluarga terdekat itu, Mira mengenakan persalinan jubah berwarna merah jambu.

Menurut Mira, majlis turut diadakan bersama adik bongsunya, Nur Aina Fadhilah yang akan melangsungkan pernikahan esok.

"Majlis ini adalah gabungan saya dan Aina kerana dia bakal melangsungkan pernikahan esok. Jadi kami mengambil peluang untuk adakan majlis ini serentak memandangkan kakak sulung yang menetap di New York dapat pulang ke Malaysia untuk menyaksikan majlis penting kami. Dia juga tidak boleh berada di sini dalam tempoh yang panjang kerana kekangan kerja," katanya.

Pada Julai lalu, Harian Metro melaporkan Mira sudah bertunang dengan Wan Emir, namun dia enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pertunangannya itu.

 

Disiarkan pada: August 28, 2020 @ 3:49pm
d