rap

Mira Filzah semakin berdebar nak nikah

Oleh Najiy Jefri

PELAKON popular Mira Filzah berdebar menantikan hari pernikahannya dengan Wan Emir Astar yang juga anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid tidak lama lagi.

Mira ketika ditemui berkata, dia menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada perancang perkahwinan serta pengurusnya bagi memastikan hari bahagianya berjalan lancar.

"Saya terikat dengan jadual kerja yang padat, jadi saya tidak begitu memikirkan sangat soal persiapan perkahwinan. Banyak kerja yang perlu disiapkan antaranya tugas pengacaraan untuk program Nona serta beberapa sesi fotografi sebagai duta produk.

"Walaupun urusan persiapan perkahwinan diserahkan kepada perancang perkahwinan, tetapi saya tetap menghadiri majlis perjumpaan yang diadakan. Apabila semua benda datang secara serentak dengan jadual kerja yang bertindih, mulalah timbul perasaan berdebar.

"Namun, saya bersyukur segala perancangan sudah hampir selesai dan semuanya berjalan mengikut seperti apa yang dirancangkan," katanya.

Semalam, Mira mengadakan majlis khatam al-Quran di kediaman keluarganya di Bangi. Majlis berkenaan diadakan atas permintaan keluarga berikutan Mira tidak akan mengadakan majlis berinai seperti bakal pengantin yang lain.

Majlis itu juga diadakan serentak dengan adik bongsunya, Nur Aina Fadhilah, 25, yang diijabkabulkan hari ini.

Mira yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai majlis perkahwinannya berkata, majlis itu akan diadakan secara sederhana susulan pandemik Covid-19 dan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Majlis pernikahan dan resepsi akan diadakan secara kecil-kecilan saja. Saya tidak mahu mengadakan majlis yang besar kerana tidak berani menanggung risiko berikutan negara kita masih belum menang memerangi Covid-19

"Hanya 250 tetamu yang akan diundang ke majlis saya nanti demi mengikut saranan kerajaan supaya mengamalkan langkah penjarakan fizikal. Pada masa sama juga saya mahu mengelakkan daripada timbulnya sebarang kontroversi.

"Selalunya apa saja yang dimuat naik selebriti di laman sosial sering mencetuskan perbalahan, jadi bagi mengelakkan perkara itu dari berlaku, langkah yang terbaik adalah mengehadkan tetamu ke majlis saya," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 4:58pm
d