rap

'Tegur, kritik tak mengapa, tapi janganlah menghina'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON dan anggota kumpulan Elite, Azza, 42, mengakui dia bukan terlalu 'keras kepala' menolak teguran warganet mengenai iklan-iklan yang disiarkan di Instagram miliknya.

Azza berkata, teguran itu sepatutnya dengan tujuan yang baik dan bukan bermaksud menghina peribadi.

"Saya boleh terima dan lama-kelamaan akan terfikir daripada teguran itu buat saya lebih berhati-hati. Saya juga bukan marah orang tegur saya, tapi teguran itu biarlah yang membina dan bukan menghina," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Azza menerusi Instagram semalam meluahkan perasaan geram terhadap warganet yang melemparkan kecaman terhadapnya yang dikatakan menyiarkan iklan melampaui batas.

Azza berkata, dia sebenarnya boleh menerima setiap teguran dengan berlapang dada.

"Saya faham diri saya masih jauh untuk sempurna dan masih lagi berusaha untuk menjadi lebih baik. Cuma ada bagusnya jika teguran disampaikan secara berhemah, bukankah itu lebih baik?

"Lagipun apabila difikirkan, teguran itu ada kebaikannya dan ia buatkan saya lebih berhati-hati apabila mempromosikan produk," katanya.

Dalam masa sama, Azza menyedari pengikut dan pengiklan produk di Instagram mahukan yang terbaik.

"Saya mengalu-alukan sesiapa saja yang nak iklankan produk di Instagram saya, tapi saya nak ingatkan bentuk iklan perlulah berhemah.

"Nak suruh artis iklankan boleh, tapi biarlah yang sesuai untuk ditonton segenap lapisan. Nanti artis juga yang disalahkan. Kebiasaannya pelanggan bagi gambar dan video seperti produk untuk besarkan buah dada. Saya tak kisah untuk siarkan asalkan ia tak mencolok mata," katanya yang mempunyai 529,000 pengikut.

Disiarkan pada: August 29, 2020 @ 5:22pm
d