rap

Suami syor jadi pengarah

Oleh Norhayati Nordin

SELAIN aktres Erra Fazira, nama pelakon jelita Lisa Surihani Mohamed juga pernah mendapat gelaran Primadona Filem Melayu.

Pelakon berusia 34 tahun ini, banyak membintangi filem bermula 2006, meskipun sudah aktif dalam kerjaya hiburan sejak kanak-kanak.

Ketika berusia 11 tahun, Lisa pernah membintangi iklan komersial di TV termasuk berlakon drama berjudul Gergasi dan Ayah Kami di RTM.

Justeru, masa berlalu dengan peningkatan usia dan perubahan status diri, Lisa yang kini berkeluarga memastikan urusan kerjaya serta peribadi seiring.

Sebagai isteri dan ibu, dia mengakui sangat mengutamakan masa bersama keluarga dan enggan terlalu fokus pada komitmen kerjaya semata-mata

"Pada usia saya yang sudah melewati 30-an ini, pernah juga terfikir apa akan dilakukannya jika meninggalkan kerjaya seni.

"Ia berikutan pembabitan saya sudah lama sejak 1997, ketika kecil lagi. Sekarang, selepas kahwin dan berkeluarga semestinya fikirkan suami serta anak-anak pula.

"Apapun, saya selesa melihat ke arah positif dengan banyak berdoa memohon petunjuk daripada Allah. Jika rezeki masih dalam kerjaya seni, maka teruslah dipermudahkan," katanya.

Menurut Lisa yang kini aktif dalam pengacaraan, jika sebaliknya dia bermohon Allah bantu beri ilham lain yang boleh dilakukannya untuk bekerja.

Ditanya mengenai percubaan dalam pengarahan, Lisa berkata, buat masa ini dia belum ada keyakinan mampu menggalas tanggungjawab besar itu.

"Suami saya, Yusry pernah menyuarakan pendapatnya beberapa minggu lalu dengan mengatakan saya boleh mencuba jadi pengarah.

"Abang Yusry, begitu yakin dengan bakat saya. Bagaimanapun, untuk saya sendiri diakui masih tidak yakin dan layak untuk tanggungjawab itu (mengarah).

"Bagi saya, belum masanya dan diri tidak bersedia lagi. Ini kerana masih terlalu banyak yang perlu saya pelajari untuk memantapkan 'skill' diri," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia sangat terharu dan berbesar hati dengan kepercayaan suami terhadap bakat seni dimiliki. Kata Lisa, yang pasti dia enggan terburu-buru.

"Alhamdulillah, Yusry seorang yang tidak mendesak. Cuma, apa yang disuarakannya itu adalah pendapat peribadi dan saya sangat hormat dan menghargainya.

"Buat masa ini, saya akan teruskan kerjaya sebagai pelakon dan pengacara. Untuk saya, biar Allah tentukan bila masa sedia nak jadi pengarah pula," katanya.

Lisa mendirikan rumah tangga tangga dengan penyanyi dan pengarah, Yusry Abdul Halim pada 2012.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Yahaira Leanne, 5 dan Yusof Leonne, 3.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 6:40am
d