rap

Zarul Umbrella bantu promosi perniagaan rakan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan pelakon, Zarul Umbrella menggunakan saluran YouTube miliknya bagi membantu rakan-rakannya dalam industri penerbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Zarul yang juga bekas pramugara berkata, dia juga cuba sebaik mungkin untuk mempromosikan perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan rakan-rakannya.

"Ramai kenalan saya yang terdiri daripada pramugari, pramugara dan juruterbang terkesan daripada krisis ini selepas dibuang kerja.

"Saya tak mungkin mampu untuk membantu mereka dari segi kewangan. Jadi, saya gunakan platform YouTube dan bantu mempromosikan produk jualan mereka. Sedikit sebanyak, ia dapat membantu mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zarul, dugaan buat rakan-rakannya itu adalah satu ujian besar.

"Saya kagum dengan semangat mereka. Ada yang kedua-dua suami isteri diberhentikan pada hari sama dan ada juga yang salah seorang pasangan kehilangan pekerjaan.

"Namun, mahu atau tidak mereka terpaksa akur dan teruskan kehidupan dengan mencari alternatif lain seperti berniaga kecil-kecilan," katanya.

Zarul yang juga penyanyi kumpulan Umbrella berkata, dia tidak menolak bahawa kemungkinan ramai lagi akan terkesan akibat krisis ini.

"Kita pun tak tahu bila krisis ini akan selesai. Saya rasa, mungkin akan mengambil masa yang lebih lama lagi," katanya yang baru muncul dengan single baru bersama Umbrella berjudul Hilang.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 4:24pm
d