rap

Noki K-Clique tak mahu panas baran lagi

Oleh Najiy Jefri

ANGGOTA kumpulan K-Clique, Noki mengakui masih berusaha mengikis sikap panas baran dalam dirinya.

Noki berkata, demi menjaga nama baik diri dan kumpulan K-Clique, dia perlu mengawal sikap buruk itu supaya khalayak tidak memandang serong.

"Saya akui dulu seorang yang cepat marah dan panas baran. Namun, selepas K-Clique makin dikenali, saya mula terfikir sampai bila nak berperangai begini. Lagipun kerjaya ini adalah sumber pencarian utama saya. Jadi saya perlu ubah sikap dan tidak boleh buat perkara sesuka hati.

"Saya bersyukur dikelilingi kawan-kawan yang positif terutama anggota K-Clique yang banyak memberikan nasihat dan teguran supaya tidak melayan komen atau perkara yang boleh mencetuskan kemarahan," katanya.

Menurut Noki, sikap panas baran yang ada dalam dirinya bukan berlaku setiap masa.

"Prinsip saya mudah. Orang luar jangan sentuh ibu bapa saya atau cuba melakukan perkara yang boleh menyakitkan hati. Tidak semua perkara saya mudah 'naik hantu'. Tengok juga keadaan dan situasi, cuma baru-baru ini apabila saya memaki hamun seorang pemilik akaun di Instagram Live sebab dia bersikap kurang ajar hingga membabitkan kedua orang tua saya," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:54pm
d