rap

Nora nak cucu panggilnya 'wan'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Nora Ariffin, 46, menggelar dirinya dengan panggilan 'wan' untuk cucu sulung, Ayden Johan yang dilahirkan pada 26 Ogos lalu.

Ayden adalah anak pertama, hasil perkahwinan anak sulung Nora iaitu Mohd Syakir Iman, 27, dan isteri, Putri Eliya Sofea yang mendirikan rumah tangga pada Januari, tahun lalu.

Menurut Nora, dia sangat bersyukur dan menjadi insan paling gembira dengan kehadiran cucu sulung lelaki berkenaan.

"Bukan saya sahaja yang seronok dan bahagia dapat cucu, tapi dua anak perempuan saya pun gembira kerana mereka dah dapat anak buah.

"Apapun, nama Ayden Johan itu memang dipilih sendiri oleh Iman dan isterinya. Mereka mahu abadikan juga nama Allahyarham suami saya, Johan Nawawi kerana nama bapa mereka juga," katanya.

Ujar Nora lagi, dia nampaknya akan lebih kerap menjenguk menantu yang kini berpantang di rumah besan kerana mahu bermain-main dengan cucu.

Baru-baru ini, Nora menerusi perkongsian di Instagram, turut meluah perasaan sedih kerana meraikan kelahiran cucunya tanpa suami di sisi.

"Pa... Kita sudah dapat cucu. Kalau abang masih hidup, mesti abang gembira sangat. Bayi selamat, sihat, 'semangat' dan comel. Sama macam kita sambut Iman dahulu.

"Moga kehadiran Ayden bakal menambah seri dan kebahagiaan dalam keluarga sederhana kami. Moga Allah memberkati kami semua di dunia dan akhirat," tulisnya.

Nora kehilangan suami tercinta, Johan yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017, manakala pada Disember tahun lalu, dia sekali lagi berhadapan ujian apabila anak kedua, Muhammad Syakir Alif dijemput Yang Maha Esa.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 4:27pm
d