rap

Takut ke tak?

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN menonton wayang kini mempraktikkan situasi norma baharu, peminat filem tempatan boleh menyaksikan karya sentuhan Muzammer Rahman.

Muzammer yang berani menyahut cabaran, kini tampil mempertaruhkan karya bergenre komedi seram arahannya berjudul Takut Ke Tak.

Diterbitkan produksi Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, filem Takut Ke Tak sudah menjengah tayangan di pawagam tanah air mulai 27 Ogos lalu.

Hadir pada majlis pratonton filem itu, karya Takut Ke Tak memuatkan aksi komedi segar yang santai dan mampu menghiburkan penonton.

Mengulas karyanya, Muzammer berkata dia sangat berusaha dalam penghasilan filem itu kerana mahu membuktikan bakat sutradara dimilikinya.

"Apatah lagi, bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan penerbit. Jadi, saya begitu teliti dan memastikan hasil filem ini mampu menghiburkan penonton.

"Walaupun, saya sedar masih kurang dari segi pengalaman tetapi peluang yang diperoleh itu harus dibuktikan dengan sebaik mungkin.

"Saya tidak mahu mensia-siakan peluang. Ditambah, saya mendapat kerjasama sangat baik daripada pasukan tenaga produksi filem ini," katanya.

Sekalipun memberi ruang pada beberapa pelakon baharu untuk watak utama, Muzammer mengaku dia yakin dengan barisan pelakon dipilihnya.

"Saya cuba menghasilkan filem ini dengan objektif memberi hiburan kepada penonton. Justeru, apa yang diinginkan ialah penonton terhibur.

"Dalam situasi sekarang yang memerlukan kita semua cuba membiasakan diri menjalani kehidupan harian secara norma baharu, elakkan tekanan.

"Justeru, hiburan yang ringan perlu untuk membuat kita tertawa dan kembali ceria. Secara tak langsung, tekanan fikiran dapat dilepaskan.

"Apapun, harapan saya semoga filem Takut Ke Tak ini akan diterima baik penonton. Malah, dapat membantu mewarnai semula industri filem tempatan," katanya.

Biarpun boleh dianggap masih bertatih dalam memahat bakat pengarahannya, Muzammer pernah menang trofi The Young Filmmakers Award 2015.

Sehubungan itu, barisan pelakon filem ini terdiri daripada Nabil Aqil sebagai Abbas, Ika Nabella (Linda), Fabian Loo (Yang Guo), Arwind Kumar (Sivar), Han Zalini (Amir), Daniella Sya (Si Cantik), Delimawati (Penunggu), Ropie (Profesor) dan Sherry Aljeffri (Nenek).

Berkongsi coretan kisah diketengahkan filem ini, ia memaparkan mengenai lima pelajar jurusan filem yang merancang untuk melakukan penggambaran di sebuah rumah berhantu.

Bagaimanapun, mereka harus berhadapan dengan satu demi satu kejadian pelik dan menyeramkan yang terjadi tanpa diduga.

Apakah sebenarnya yang berlaku kepada mereka? Dapatkah mereka menyiapkan penggambaran yang di rancang itu, termasuk keluar daripada perangkap rumah berhantu?

Semua jawapan pastinya ada dalam filem Takut Ke Tak. Malah, menariknya ada babak akan membuatkan penonton tertawa kerana agak lucu.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 6:44am
d