rap

Masya Masyitah tak fikir nak cari kekasih lagi..

Oleh Norhayati Notdin

PENYANYI Masya Masyitah, 20, tidak berhasrat mencari kekasih yang berbeza agama dan budaya, biarpun kini dia semakin berjaya menawan hati kebanyakan peminat dan pengikut media sosial bukan Melayu.

Kejayaan meraih sokongan peminat dan pengikut bukan Melayu itu diperoleh Masya berikutan, dia banyak membuat lagu nyanyian semula (cover) dalam bahasa Mandarin yang dimuat naik di Instagram serta saluran YouTube miliknya.

Apapun, mengulas soal kekasih itu, Masya berkata menjadi satu tanggungjawab besar yang harus sedia digalasnya jika ingin menjalin hubungan percintaan dengan lelaki bukan Melayu atau asing.

"Saya belum terfikir lagi nak bercinta sekarang, sebab masih muda. Tapi, saya pun tak berhasrat nak ada kekasih yang bukan Melayu atau berlainan agama suatu hari nanti.

"Ini kerana tanggungjawabnya saya lihat terlalu besar dan berat. Untuk saya, rasanya tak mampu. Apapun, urusan jodoh Allah yang tentukan," katanya.

Apapun, Masya atau nama sebenarnya Siti Nur Masyitah Yusoff sebelum ini pernah dikait gosip cinta dengan penyanyi Usop Mentor, gara-gara sering memuat naik video bersama dan mereka juga berasal dari Kedah.

Mengulas juga gosip pernah dihadapi itu, Masya berkata dia menerima dengan positif kerana sedar ia sebahagian lumrah hidup seorang selebriti.

"Saya okay saja kerana perkara dikaitkan itu hanya gosip. Kami pun tak bercinta. Bagi saya, ia asam garam dalam kehidupan seorang artis.

"Malah, selagi tidak melampaui batas saya akan terima. Setakat ini, saya pun tak layan gosip sangat kerana fokus memang ditumpukan pada kerjaya nyanyian," katanya.

Menurut Masya yang boleh bertutur bahasa Mandarin, dia pernah belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chio Min, Kulim. Ujarnya, keputusan bapanya dilihat tepat.

Menurutnya lagi, bapanya mahu dia lebih berdikari dan bercampur gaul dengan masyarakat bukan Melayu, memandangkan kita semua dalam satu negara Malaysia.

Sehubungan itu, Masya pernah muncul juara program Ceria Popstar musim kedua di bawah bimbingan Hazama pada 2014, dan kini dia dikenali dengan lagu Halimunan dan terbaharu, Hapus.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 6:13pm
d