rap

"Saya mohon sangat hentikan penyebaran video"

Oleh Syafil Syazwan Jefri

IBU kepada remaja lelaki yang terbabit dalam video tak senonoh dengan aksi bercium baru-baru ini tampil membuat permohonan maaf menerusi video.

Dalam video itu, wanita yang dikenali sebagai Cikgu Maya itu memohon maaf kepada keluarga penyanyi Nora Ariffin atas apa yang berlaku.

"Kepada Puan Nora dan keluarga, saya ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki di atas apa yang berlaku.

"Pertama sekali, saya minta maaf sebab baru dapat kekuatan dan bersedia untuk menghadapi semua orang," katanya menangis.

Maya juga sudah memberikan didikan sepenuhnya kepada remaja lelaki itu seperti mana yang selayaknya diberikan kepada seorang anak.

"Di sini, saya sebagai ibu dah berikan sepenuh didikan, kasih sayang dan tunjuk ajar kepada dia. Tak kurang juga ilmu agama dan memenuhi keperluan dia sebagai anak.

"Sebagai manusia, kita tak lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Dia naif dan belajar lagi. Dia remaja yang lupa, apa yang dia buat itu memberi impak besar seperti ini," katanya.

Maya juga memohon warganet supaya berhenti menyebarkan video yang mengaibkan keluarga kedua-dua belah pihak itu.

"Saya mohon warganet supaya ambil iktibar daripada apa yang berlaku dan tolong hentikan penularan video itu. Saya mohon sangat.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya harap, apa yang berlaku menjadi iktibar dan pengajaran supaya dia menjadi lebih baik di masa akan datang," katanya.

Dalam video itu, Maya juga menyeru ibu bapa di luar sana supaya mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran.

"Kepada ibu bapa di luar sana, apa yang berlaku boleh menjadi pengajaran kepada kita semua untuk lebih memberi perhatian kepada anak-anak kita.

"Kita buat yang terbaik untuk mereka supaya mereka sedar dan perkara sebegini tidak akan berulang lagi," katanya.

Beberapa hari lalu, tular klip video mirip anak gadis Nora iaitu Putri Nor Dahlia yang kelihatan bercumbu dengan seorang remaja lelaki dan tular di media sosial.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 8:01pm
d