rap

Kereta Sandra langgar tiga kereta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kereta yang dinaiki penyanyi dan peserta program realiti Big Stage 3, Sandra Dianne, 26, bersama seorang rakannya brek mengejut secara tiba-tiba sebelum hilang kawalan dan terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang semalam di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), berhampiran Subang Jaya itu, kereta itu kemudian melanggar sisi kiri sebuah Nissan Almera yang berada di hadapannya akibat hilang kawalan.

"Mangsa memandu di lorong paling kanan sebelum tiba-tiba brek secara mengejut. Ia turut melanggar dua lagi kenderaan yang berada di lorong yang sama," katanya.

Azman berkata, selepas merempuh tiga kenderaan lain, kereta itu terbalik.

Akibat kejadian itu, Sandra dikatakan mengalami kecederaan di kepala dan kini dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, manakala rakannya menerima rawatan pesakit luar.

Ketika kejadian, penyanyi berasal dari Sabah itu dikatakan dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk latihan penuh konsert Big Stage 3 minggu keempat yang berlangsung malam ini.

Berita berkaitan

Sandra di ICU, dikecualikan dari Big Stage

Sandra Dianne kemalangan

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 6:49pm
d