rap

Kisah seram Jambatan Satok

Oleh Najiy Jefri

JIKA mengikut perancangan awal, filem seram popular masyarakat Sarawak, Janet Sumpah Terlarang sepatutnya menjalani penggambaran di beberapa lokasi sekitar Kuching.

Bagaimanapun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada Mac lalu mengubah segala perancangan filem itu.

Penerbitnya, Sufri Yusop Shamsudin berkata, atas faktor keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, pihaknya terpaksa menukar lokasi bagi memastikan keselamatan setiap kru dan pelakon.

"Sepatutnya filem ini menjalani penggambaran April lalu, tetapi disebabkan PKP kami terpaksa menangguhnya selama beberapa bulan. Asalnya penggambaran sepatutnya di Sarawak, tetapi terpaksa dihabiskan di Kuala Lumpur.

"Memang kami mahu pastikan filem ini disiapkan juga. Kalau bercakap soal kecewa memanglah sebab semua lokasi di Sarawak itu sudah mendapat kelulusan.

"Namun, apabila memikirkan soal keselamatan dan lebih memudahkan dalam tempoh ini kami pilih untuk teruskan penggambaran di semenanjung sahaja," katanya.

Ditanya mengenai filem yang akan ditayangkan pada awal tahun depan itu, Sufri berkata, Janet Sumpah Terlarang adalah kisah yang diadaptasi melalui kisah seram masyarakat yang cukup popular terutamanya buat penduduk di Kuching.

"Di Sarawak kisah Janet ini memang popular, tetapi tidak ada yang cuba membuat filem kisah seram ini. Difahamkan wanita bernama Janet ini dikatakan menjadi korban untuk pembinaan Jambatan Satok. Malah kisah ini cukup popular sekitar tahun 60-an dan 70-an.

"Jadi melalui kisah masyarakat kami angkat dan filemkan, cuma ada yang berbeza dalam menyesuaikannya dengan keadaan sekarang," katanya.

Lokasi 'dikunjungi' haiwan berbisa

Bercerita mengenai cabaran menyiapkan filem terbabit, Sufri berkata, ketika proses penggambaran berlangsung berlaku beberapa kejadian pelik. Malah, paling mendebarkan apabila lokasi penggambaran mereka 'dikunjungi' haiwan berbisa.

"Mungkin ini juga kebetulan, namun buat kali pertama untuk kru sendiri diganggu dengan pelbagai perkara mistik yang sukar untuk dijelaskan.

"Selain itu juga lokasi penggambaran kami turut didatangi ular. Fikir balik memang menyeramkan. Bagaimanapun kami tetap bersyukur apabila penggambaran dapat dijalankan dengan baik sepanjang dua minggu," katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kisah masyarakat Sarawak ini diterima dengan baik penonton selain tidak mahu mengubah idea asal kisah ini sendiri, Sufri menitikberatkan penggunaan dialek Sarawak bagi setiap pelakon.

"Kami mempunyai beberapa pelakon yang memang berasal dari Sarawak antaranya Safar Ghafar, Bulan Terry dan Natasya Charmine. Jadi, mereka memang tidak ada masalah dalam pertuturan.

"Esma Danial memang kena belajarlah, namun Ifa Raziah hanya menggunakan pertuturan harian sahaja sebab ada bahagian skrip yang kami ubah sedikit dalam menyesuaikan dengan keadaan," katanya.

Janet Sumpah Terlarang diterbitkan Kaya Kenyalang Sdn Bhd Filem dan diarahkan Mohd Azhar Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Apache.

Ia dibarisi pelakon seperti Esma Daniel, Safar Ghafar, Bulan Terry, Natasya Charmine, Aliff Hadi, Ifa Raziah dan Roppie.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 6:20am
d