rap

Tawaran doktor jadi pengubat duka Hanie Soraya selepas tersingkir awal

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Hanie Soraya Taha tidak bersedih lama dengan penyingkiran dilaluinya di minggu kedua Big Stage, apabila mendapat tawaran dipanggil bertugas sebagai doktor.

Hanie, 26, yang popular dengan lagu Hujung Dunia berkata,  penyingkirannya itu dianggap sebagai hikmah dan kesedihan dirasai terus terubat selepas mendapat khabar gembira berkenaan.

"Rasa sedih pasti ada apabila tersingkir awal. Tipulah kalau tiada perasaan itu. Tapi, saya kena sentiasa kuat semangat. 

"Sebagai orang Islam, saya percaya rezeki mungkin bukan di situ, tetapi pasti sudah ada ditempat lain.

"Alhamdulillah, pada 2 September lalu saya baru dapat jawapan untuk permohonan sebagai doktor  diterima dan diminta melapor diri hujung bulan ini," katanya kepada Harian Metro.

Hanie, graduan bidang perubatan dari Universiti Mansoura, Mesir akan bertugas di sebuah hospital terkenal di Kuala Lumpur.

"Saya akan buat 'housemanship' selama dua tahun. Saya dah bersedia untuk menjalani rutin sebagai doktor yang perlu sentiasa bersedia melayan pesakit.

"Sebelum ini, saya pernah buat praktikal di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Ampang. Tak dinafikan, ada juga jururawat dan pesakit yang kenal saya.

"Hari pertama mereka mungkin 'krik! krik!'  takut tersalah orang. Pada hari kedua, barulah mereka berani tegur saya selepas berjaya kenal pasti menerusi carian di internet," katanya.

Menurutnya, dia perlu bijak menyesuaikan diri antara kerjaya sebagai doktor dan penyanyi.

"Saya sengaja melambatkan permohonan sebelum ini kerana nak fokus pada muzik terlebih dahulu.

"Apabila dah mula buat 'housemanship', jadual saya memang sangat padat.

"Apapun, saya hargai sokongan daripada semua pihak dan perlu pandai agihkan masa untuk kedua-dua kerjaya diceburi," katanya memegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 2:36pm
d