rap

Sarah tak cepat menyerah

Oleh Najiy Jefri

HAMPIR enam tahun mencanai bakat dalam bidang nyanyian, penyanyi Sarah Fazny mengakui rezekinya untuk dikenali ramai belum tiba.

Sarah berkata, kehadirannya dianggap kurang menyinar, namun dia tidak akan pernah berhenti mencuba dan berusaha.

"Saya mula menyertai Mentor Legend pada 2014, Duo Star pada 2016, D'Academy Asia pada 2018 dan saya juga pernah keluarkan single. Setiap hari adalah proses pembelajaran dan saya tak akan berhenti belajar.

"Saya masih belum benar-benar dikenali dan itulah realiti pahit yang perlu saya hadapi. Orang kata saya ada bakat tapi masa untuk saya menyerlah itu belum tiba lagi. Rezeki masih belum lekat," katanya.

Tetap optimis untuk terus menaikkan namanya, Sarah berkata, dia masih bertahan sehingga ke hari ini kerana minat yang begitu mendalam.

"Saya tak mahu berhenti kerana bidang nyanyian adalah minat saya. Saya memang suka menyanyi dan usaha saya tak akan berhenti setakat ini.

"Saya bukanlah dari keluarga yang senang. Kadang-kadang, saya harus menghadiri acara dan tidak berbayar pun. Tapi sebagai penyanyi, saya harus sentiasa menjaga penampilan.

"Saya juga pernah buat persembahan yang tak berbayar, ekspo-ekspo kecil kerana minat. Apabila saya berada di atas pentas dan menghiburkan orang, saya rasa puas.

"Jadi, saya mahu terus belajar. Saya mahu terus menjaga nama dan tak mahu naik kerana kontroversi. Keluarga pun memberikan sokongan dan saya tak akan berhenti berusaha," katanya.

Dalam pada itu, Sarah kini muncul dengan terbaharu duet bersama Awi Rafael berjudul Ayuh Kita Merdeka.

Sarah berkata, jika diikutkan sebelum projek lagu duet berkenaan, Awi pernah berhasrat bekerjasama menerusi lagu balada bersama Sarah, tiga tahun lalu.

"Nak dijadikan cerita peluang berkenaan tidak menjadi kenyataan kerana saya perlu terbang ke Jakarta, Indonesia menyertai program D'Academy Asia musim keempat. Akibat kekangan masa, ia terhenti di situ.

"Saya merasakan lagu yang diberikan cukup besar. Rugi dan membazir sekiranya saya menyanyikannya. Saya berpendapat lebih baik diberikan kepada penyanyi lebih popular.

"Selain membuka peluang untuk berduet menerusi lagu Ayuh Kita Merdeka, Awi mahu bekerjasama untuk projek lagu single saya.

"Cuma, belum ada pengesahan lagi. Biarpun ambil masa dan berdepan kekangan, Awi masih sudi memberikan karya ciptaannya untuk saya," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 6:21am
d