rap

Ibu rayu telefon Sandra dipulangkan

Oleh Georgie Joseph

IBU kepada penyanyi Sandra Dianne, Nor Syakinah merayu kepada mana-mana individu yang terambil telefon pintar milik anaknya itu sewaktu kemalangan baru-baru ini supaya memulangkannya kembali.

Nor Syakinah berkata, pihaknya sangat memerlukan telefon itu yang menyimpan pelbagai dokumen penting terutama berkaitan kerja penyanyi itu.

"Sandra menggunakan telefon jenis Samsung S20 Ultra. Ia adalah telefon yang selalu dia gunakan untuk urusan kerja. Segala maklumat mengenai media sosial seperti Instagram dan Twitter tersimpan di situ selain maklumat-maklumat sulit yang lain.

"Saya mohon kerjasama kepada individu yang ada menyimpan telefon anak saya untuk memulangkannya semula kepada saya. Bantu saya sebarkan supaya rayuan ini sampai kepada mereka yang berkenaan," katanya.

Kelmarin, Nor Syakinah memohon supaya foto keadaan anaknya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya tidak lagi disebarkan untuk tujuan publisiti.

Dia meminta doa orang ramai supaya Sandra diberikan kekuatan untuk mengharungi dugaan itu.

Sementara itu, wakil pihak pengurusan Sony Music Malaysia memaklumkan penyanyi itu masih dalam koma.

Sabtu lalu, peserta program realiti Big Stage 3 itu terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, Sandra dan sepupunya dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan penuh konsert Big Stage.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 2:46pm
d