rap

Pengurus Khai Bahar meninggal dunia

Oleh Najiy Jefri

PENGURUS kepada penyanyi Khai Bahar iaitu Fadly Yusof meninggal dunia akibat kegagalan jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan swasta di Batu Pahat, Johor jam 10 pagi hari ini.

Khai ketika dihubungi berkata, semalam dia baru sahaja melawat Allahyarham dan terkejut apabila menerima perkhabaran duka itu pagi tadi.

"Semalam saya bersama pegawai perhubungan awam saya datang melawat arwah di hospital. Namun dia berada dalam keadaan koma dan kritikal. Tak sangka pagi tadi dapat panggilan telefon daripada pembantu peribadi yang maklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Menurut Khai, sepanjang tujuh tahun bersama Allahyarham dia antara insan yang banyak membantu dan memberikan nasihat untuk kerjaya seninya sebagai penyanyi.

"Arwah seorang yang pendiam tapi dia selalu bagi nasihat dan motivasi supaya saya terus perbaiki kelemahan diri. Sepanjang bersamanya kami selalu berbincang dan kami saling bertoleransi. Tiada banyak masalah yang timbul sepanjang bekerja dengannya," katanya.

Allahyarham Fadly dikebumikan selepas solat Asar hari ini di kampung halamannya di Batu Pahat.

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 4:53pm
d