rap

Lepas jumpa, Siti Sarah nak tulis surat rasmi mohon maaf pula!

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS membuat permohonan maaf secara bersemuka dengan wakil dan Pengerusi Persatuan Orang Asli, Suhaimi Along semalam, penyanyi, Siti Sarah akan menulis satu lagi surat rasmi mengenai permohonan maaf atas keterlanjuran kata terhadap etnik itu sebelum ini.

Menurutnya, itu adalah salah satu cara yang paling tepat kerana dia tidak berpeluang untuk bertemu dengan kesemua wakil daripada 18 suku kaum Orang Asli dalam pertemuan semalam.

"Semalam, saya bersua muka dengan wakil dan juga Pengerusi Persatuan Orang Asli di Batu 12, Gombak. Pada pertemuan semalam, ada wakil daripada beberapa suku kaum Orang Asli sahaja.

"Jadi, saya akan tulis satu surat rasmi mengenai permohonan maaf saya supaya dapat disampaikan kepada setiap wakil daripada 18 suku kaum Orang Asli kerana saya rasa, itu adalah cara yang paling tepat sekali," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, penyanyi lagu Semakin itu memuat naik video sesi pertemuan itu, berdurasi 2 minit 51 saat di Instagramnya.

Bersama video itu, Sarah turut menyertakan kapsyen permohonan maaf atas kata-katanya yang mengguris hati banyak pihak.

"Saya Siti Sarah dengan rendah hati menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada masyarakat Malaysia terutama kepada 18 suku kaum Orang Asli atas kekhilafan diri saya yang mengguris hati masyarakat Orang Asli.

"Sesungguhnya, tidak terlintas dan terniat untuk saya melukakan hati Orang Asli. Sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Sarah juga sama.

"Sarah kesal dan menyesal atas apa yang berlaku, dan apa yang terjadi ini akan menjadi satu pengajaran bukan sahaja untuk Sarah, tapi juga kepada masyarakat di luar sana," tulisnya.

Isu ini mula menjadi perbualan apabila Sarah muncul dalam satu video promosi produk syampu dan menyentuh mengenai keadaan rambut Orang Asli dan sekaligus, menjadi mangsa kecaman warganet.

Berita berkaitan

Siti Sarah mohon maaf kepada Orang Asli dan seluruh rakyat Malaysia

Siti Sarah buat sidang media khas, Isnin ini untuk jawab isu

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 7:09pm
d