rap

Rupa-rupanya Nabila Huda buat gimik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON, Nabila Huda mengakui video cemas yang dirakamkan di Instagram Story bulan lalu adalah gimik semata-mata.

Nabila berkata, video itu dirakam untuk memberikan promosi awal untuk program terbaharu terbitan Astro, The Masked Singer yang memperlihatkan kemunculan Nabila sebagai salah seorang juri tetap program itu.

"Video cemas itu saya berlakon saja. Ia adalah 'teaser' untuk program The Masked Singer. Saya serba salah apabila ada kawan-kawan ingat ia betul. 'Sorry guys', saya berlakon saja.

"Saya seorang pelakon yang suka memberi tapi tak menjangka lakonan saya terlalu keterlaluan sampai buat semua orang bimbang. Fizz Fairuz dan Nabil antara yang ingat video itu betul hingga nak buat laporan polis.

"Saya pula memang sudah lama tak berlakon cerita suspen, lagilah saya buat bersungguh-sungguh apabila pihak produksi meminta buat video 'teaser'," katanya.

Nabila yang ditemui pada majlis pelancaran The Masked Singer baru-baru ini turut menjelaskan lakonannya itu turut mencemaskan anak tunggalnya, Keisha Laila, 11, yang terus menghubunginya sebaik menonton video itu.

"Saya lupa nak beritahu Keisha yang itu video gimik. Apabila dia tengok video tu dia terus hubungi saya.

"Dia telefon saya tengah malam, dia cakap dia panik dan takut jika ada apa-apa terjadi pada saya. 'Sorry Keisha, you kena pranked'," katanya.

Terdahulu, menerusi video dimuat naik memaparkan Nabila berada dalam keadaan panik dan hampir menangis seolah-olah rumahnya dimasuki perompak pada tengah malam.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 4:33pm
d