rap

'Syurga hati' Ali Sariah

Oleh Najiy Jefri

KEBAHAGIAAN rumah tangga penyanyi kumpulan Kugiran Masdo, Ali Sariah makin sempurna apabila isterinya selamat melahirkan cahaya mata lelaki di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 28 Ogos lalu.

Ali berkata, tiada kata yang mampu diungkap saat diberitahu dirinya sudah bergelar bapa.

"Alhamdulillah proses kelahiran berjalan dengan lancar. Cuma ketika isteri bersalin saya tidak dapat menemaninya kerana ada jemputan persembahan di Kuala Lumpur.

"Sepatutnya isteri bersalin awal September, namun tak sangka pula bayi lahir seminggu awal dari tarikh jangkaan," katanya.

Menurut Ali, dia hanya dapat bertemu syurga hatinya yang diberi nama Muhammad selepas empat hari dilahirkan kerana bayi itu ditahan di wad akibat masalah kuning dan sel darah merah tinggi.

"Hanya isteri dibenarkan pulang terlebih dahulu. Syukur anak kini sudah ada dengan kami.

"Kepada isteri saya yang menyambut ulang tahun ke-23 baru-baru ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih sebab mengandung dan melahirkan anak kami. Semoga yang baik-baik saja buat anda," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan nama Muhammad, Ali berkata, dia dan isteri bersepakat memilih nama itu kerana membawa maksud yang besar dan baik.

Ali berkata, pengalaman beberapa minggu menjaga anak, dia mengakui tidurnya tidak cukup namun itulah kemanisan dalam hidupnya.

"Ambil masa juga untuk menjaga anak. Awal-awal memang agak kekok tapi berkat tunjuk ajar ibu saya dan ibu mentua serta pengalaman menjaga anak buah kini saya sudah boleh menjaga Muhammad.

"Walaupun tak cukup tidur tapi saya anggap itu semua pengalaman yang indah dalam hidup saya. Tambahan pula, jaga anak sendiri perasaan itu berbeza. Alhamdulillah anak juga tidak kerap meragam," katanya.

Ali dan isteri Natasha Nurain Mohd Azman berkahwin pada 9 Ogos tahun lalu di Johor Bahru.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 6:38am
d