rap

Rezeki 'masuk' slot akasia

Oleh Norhayati Nordin

HAMPIR setahun menceburi kerjaya lakonan, pastinya nama pelakon Shah Khan, 27, belum benar-benar dikenali. Apatah lagi, drama lakonannya juga tidak banyak.

Dalam tempoh itu, Shah Khan atau nama sebenarnya Muhamad Alieshah Mohd Kamaruzaman baharu muncul dalam dua drama iaitu Juliet dan Tolong Aku Dr Cinta.

Bersua dengannya baru-baru ini, pemuda kelahiran Johor itu berkata, dia mendapat peluang membabitkan diri dalam karier seni sekitar tahun lalu.

"Saya mendapat peluang daripada penerbit Fadzil Teh yang memberi ruang dan kepercayaannya membintangi drama Juliet terbitan Zeel Production.

"Ketika itu, saya meluahkan hasrat untuk cuba berlakon kerana amat meminati bidang ini. Alhamdulillah, dia (Fadzil) sudi berikan peluang berkenaan.

"Walaupun watak pembantu, saya amat menghargainya berikutan harus bersungguh-sungguh membuktikan bakat lakonan dimiliki," katanya.

Menurutnya, Fadzil atau mesra dengan sapaan Haji Zil memberi dia peluang cuba berlakon dalam dua drama terbitan Zeel Production sebagai penilaian bakat.

"Apa pun, saya kini teruja menunggu masa untuk masuk set penggambaran drama Tak Sempurna Mencintaiku tidak lama lagi bagi slot Akasia TV3.

"Sebagai pendatang baharu yang mahu memahat nama dan bakat dalam industri hiburan, peluang membintangi drama untuk slot Akasia ini, saya anggap rezeki.

"Bukan mudah mendapat peluang itu dan ia cabaran buat saya. Ditambah, akan berganding pula dengan pelakon seperti Redza Rosli dan Intan Najuwa.

"Saya bertekad mahu melakukan sebaik mungkin untuk watak dilakonkan nanti. Ia penting untuk masa depan kerjaya seni yang diceburi ini," katanya.

Mengakui minatnya terhadap lakonan sejak kanak-kanak kerana bapa saudara juga seorang pelakon, Shah Khan berkata, dia sebelum ini aktif dalam sukan tinju.

"Saya pernah menyertai pasukan negara dalam acara tinju dan mewakili Malaysia di temasya Sukan Sea selama beberapa tahun sejak 2014.

"Cuma, selepas mengalami kecederaan teruk di kening bahagian kiri pada 2018, saya harus berehat seketika. Sejak itu, saya terfikir nak cuba berlakon.

"Alhamdulillah, peluang sudah diperoleh sekarang dan saya kena serius. Harapan saya, semoga bakat lakonan dipersembahkan ini diterima baik penonton," katanya.

Mengulas juga mengenai gosip, Shah Khan berkata dia lebih gemar mengambil langkah berhati-hati. Ujarnya, kalau boleh dia tidak mahu terpalit langsung.

Meskipun sedar gosip dan cerita sensasi lumrah kehidupan seseorang artis, bagi Shah Khan ia boleh dielak dengan menjaga batas pergaulan diri.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 6:15am
d