rap

Penyanyi lagu Gurindam Jiwa, R Ismail meninggal dunia

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI era 1960-an dikenali R Ismail, 83, yang pernah popular dengan lagu Gurindam Jiwa meninggal dunia jam 2.17 semalam di Hospital Besar Sengkang, Singapura.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas seminggu menerima rawatan di Unit Jagaan Rapi (ICU) kerana penyakit jantung iskemik (arteri jantung menyempit) dan tiroid.

Anak sulungnya, Aslina, 46, dalam kenyataan kepada Berita Harian berkata pada Ahad lalu, dia me bawa bapa dan ibunya keluar jalan-jalan dan mereka berkesempatan makan nasi rawon. 

"Baru sahaja nak bawa mereka pulang ke rumah saya untuk luangkan masa bersama, abah mengadu sakit dada.

"Ibu minta bantuan adik saya, Elfee hantar abah ke hospital pada Isnin lalu walaupun abah berkeras tak mahu pergi. Bagaimanapun, sebaik di hospital abah langsung dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Aslina berkata dia berasa sebak apabila mengingati gelagat Allahyarham bapanya yang selalu tersenyum dan masih tetap sukamengusik walaupun tak mampu bercakap di ICU.

"Arwah abah selalu gagahkan dirinya untuk sentiasa bersemangat walau pun dalam keadaan sakit dan nampak okay setiap kali saya mengunjunginya.

"Apapun, saya akan selalu pegang nasihatnya yang minta kami empat beradik hidup rukun dan saling membantu. Saya hanya terkilan tak dapat bawa abah tinggal dengan saya sepertimana yang dihajatkan." katanya.

Bagi meneruskan legasi Allahyarham dalam bidang seni, dua anak lelakinya iaitu Iskandar atau Eiss dan seorang lagi dikenali, Elfee berkecimpung dalam bidang muzik dan  nyanyian.

Iskandar pernah menjuarai peraduan realiti SG Mania manakala Elfee pula dinobatkan Juara Klasik Nusantara 2007 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Malah, Elfee juga pernah berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Karya Agung Pak Ngah di Esplanade, awal tahun ini.

Selain itu, Allahyarham R Ismail, Iskandar dan Elfee juga pernah menjayakan konsert mini Gurindam Jiwa – Satu Malam Bersama R Ismail di Studio Teater Esplanade dua tahun lalu.

Dalam temubual bersama Allahyarham sebelum konsert berkenaan, dia asa  melahirkan rasa terujanya dapat menyanyi bersama anak-anaknya.

"Saya tidak pernah menghalang anak-anak memilih genre muzik yang mereka selesa, asal sahaja disiplin dijaga dan budaya kerja," ujarnya.

Tahun lalu, Allahyarham juga pernah menjadi penyanyi latar filem klasik seperti Bidasari dan Jula Juli Bintang Tujuh diiktiraf dalam Konsert Sukma Irama Layar Perak anjuran Wadah Seni Entertainment.

Sehubungan itu, Allahyarham meninggalkan balu, Rokiah Mat Shukor, 70, dan empat anak. Manakala, jenazahnya selamat dikebumikan pagi tadi.

Untuk rekod, pembabitan R Ismail yang bersuara lemak merdu sebagai penyanyi, mengikut jejak langkah bapanya iaitu penyanyi era 1930-an, Allahyarham A Rahman yang cukup dikenali sebagai legenda merendah hati lagi tidak lokek berkongsi ilmu.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 9:11pm
d