rap

'Leka' sinonim hidup Iq Dinzly

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI duo yang juga pasangan kembar, Aishahanim tampil berkolaborasi dengan pelakon Iq Dinzly yang dahulu dikenali sebagai Iqram Dinzly menerusi lagu baharu mereka berjudul Leka.

Mengangkat mesej dalam surah al-Asr, Leka menyentuh kisah masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, kecurangan suami isteri, kepincangan institusi rumah tangga dan sebagainya.

Aishahanim yang dianggotai Syazara Aisha Abu Bakar dan Hanim Fariza Abu Bakar berkata, mereka terpanggil bekerjasama dengan Iq kerana bait-bait lirik lagu Leka cukup dekat dengan liku kehidupan yang pernah dilalui aktor itu sebelum ini.

"Selain berhibur, peminat boleh menikmati lagu ini sambil menerapkan mesej positif dalam diri. Mesej disampaikan dalam bentuk santai supaya senang diterima pendengar.

"Kami memilih untuk bekerjasama dengan Iq kerana lagu ini sinonim dengan liku-liku kehidupan yang pernah dilaluinya. Tambahan pula, ini juga satu kelainan kerana membabitkan kemunculan pertama Iq dalam lagu.

"Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali, mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh, serta saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati agar sentiasa sabar.

"Ternyata, titipan mesej daripada Surah al-Asr ini menjadi ilham bagi penciptaan lirik untuk lagu Leka bagi menyuntik kesedaran masyarakat supaya tidak lalai dengan duniawi," kata AishaHanim.

Aisha berkata, dia dan adiknya Hanim juga sudah lama mengenali Iq, apatah lagi mereka dari kampung sama di Ipoh, Perak.

"Kebetulan, kami satu kampung di Ipoh. Malah, kami juga rapat dengan arwah kakak Iq, termasuk suami kepada arwah pun aktif bermain muzik dengan kami.

"Iq juga sudah kami anggap seperti adik. Sebagai kawan, kami terpanggil untuk menariknya balik dari terus larut. Kami bagi semangat untuk dia teruskan hidup dan ibunya pun ada meminta kami menasihati Iq.

"Ikutkan kami juga ada persepsi seperti orang lain, kenapa Iq perlu berkelakuan pelik di media sosial. Namun, dia ada alasan sendiri berbuat begitu. Ikutkan kalau jumpa berdepan, dia normal seperti orang lain juga," katanya.

Bagi Iq pula, dia sangat berterima kasih kepada Aishahanim yang masih mempercayai bakat dan menyayangi dirinya seperti sebuah keluarga.

"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Aishahanim kerana sentiasa menyokong dan menyayangi saya.

"Di saat saya diuji, mereka masih ingin menghulurkan sokongan dan bantuan untuk memberikan ruang dan peluang ini.

"Saya juga mengharapkan kehadiran lagu Leka dapat membawa nama ke dalam industri seni semula. Saya kini dikenali Iq Dinzly, insan yang baharu," katanya.

Leka adalah hasil ciptaan Iqie Hugh dan nukilan lirik oleh Khalid ini sudah boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Muzik video lagu Leka juga boleh ditonton menerusi YouTube AishaHanim sejak dilancarkan pada 9 September lalu.

AishaHanim sebelum ini pernah popular dengan lagu Mata Kunci Cinta, Benar dan Angkara yang juga menjadi lagu OST drama Bukan Gadis Biasa lakonan Ayda Jebat dan Remy Ishak.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 6:35am
d