rap

Risau nenek sakit

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SOAL jodoh, tiada siapa pernah tahu. Bila dan siapa, bukan kita penentu. Manusia hanya mampu merancang, tapi semuanya atas ketentuan Allah SWT.

Itu juga yang sering didendangkan figura terk

enal, Zizan Razak, 36, yang mana soalan mengenai jodoh tidak pernah lekang ditanyakan kepada dirinya.

Walaupun pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita, Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak tenang berdepan setiap apa yang muncul depan mata.

Malah, pada usia sekarang Zizan yang juga pelakon filem Polis Evo mengakui tidak mahu terlalu memikirkan soal rumah tangga.

Ditambah pula situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan seluruh keluarganya apabila nenek tercinta sedang sakit.

"Buat masa ini saya tak fikir langsung mengenai kahwin atau apa saja. Saya tak ada masalah dengan itu. Pada saya banyak perkara lain yang perlu dibuat lagi iaitu nak menjaga emak dan keluarga saya.

"Sekarang pun nenek sedang sakit, itu pun agak merisaukan saya. Dalam pada saya sibuk nenek pula sakit, jadi saya risau kalau berlaku apa-apa saya nak balik agak susah. Semua itu membuatkan saya berfikir. Kadang-kadang orang tak faham, jadi saya cuba buat terbaik untuk diri send

iri," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai keadaan neneknya yang berusia lebih 80 tahun, Zizan yang juga pengacara berkata, doktor mengesyaki neneknya menghidap kanser.

"Itu yang membimbangkan kami sekeluarga. Hal lain saya okay, tapi apabila bahagian ini saya berasa berat. Nenek pula berada di Dungun, manakala saya dan emak di Kuala Lumpur. Ada ketika saya tak cukup rehat dengan betul kerana kena ulang-alik ke sana," katanya.

Zizan berkata, emosinya mudah terusik dan terganggu apabila tidak cukup rehat.

Bagaimanapun, tidak semua orang faham apa yang sedang dilalui.

"Nak tak nak, saya terpaksa memujuk hati sendiri. Kadang-kadang, saya penat memikirkan bila orang nak faham keadaan saya.

"Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya kuat untuk diri sendiri. Orang ingat bila bergelar pelawak, saya boleh

bergurau setiap masa. Jadi, saya harap semua faham kenapa hari ini saya tidak berapa okay," katanya.

Cabaran The Masked Singer

Dalam perkembangan lain, Zizan dilantik sebagai juri tetap program The Masked Singer yang bersiaran pada 18 September ini, jam 9 malam di Astro Warna.

Selain Zizan, beberapa selebriti lain yang terbabit sama adalah Datuk Aznil Nawawi, Michael Ang, Ella, Raja Azura, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, Remy Ishak dan Angah Raja Lawak.

"Saya 'study' juga beberapa episod program ini di luar negara seperti The Masked Singer Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Apa boleh dikatakan, program ini memang hebat. Ia menguji kepantasan minda juri dan penonton. Pada saya ini program yang 'urban' dan kena dengan 2020.

"Apatah lagi negara kita masih berdepan Covid-19, jadi masih ada yang selesa duduk di rumah. Jadi, program ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga," katanya.

Dalam masa sama, Zizan berkongsi dia sibuk menjalani penggambaran telefilem dan supertele, selain bakal kembali beraksi menerusi filem Baik Punya Along di samping Datuk Afdlin Shauki dan Johan Raja

Lawak.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 6:18am
d