rap

Kenang bukan meratapi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELAIN keluarga dan peminat, turut terkesan dengan berita pemergian penyanyi dan peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne, Jumaat lalu adalah rakan peserta program realiti itu yang masih bersiaran.

Setiap daripada mereka tentunya ada kenangan tersendiri bersama Sandra sepanjang mengenali penyanyi yang popular dengan lagu Hey Kau itu.

Sehubungan itu, Astro selaku penerbit program berkenaan mengadakan Konsert Sandra Dalam Kenangan menggantikan konsert minggu kelima Big Stage yang berlangsung Ahad lalu.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya menimbang tara keputusan sama ada untuk meneruskan konsert Big Stage minggu kelima atau melakukan sesuatu sebagai tanda penghargaan dan mengenang keberadaan Sandra dalam program itu.

"Kami juga terkesan apabila dikhabarkan mengenai berita kematian Sandra. Jadi, kami buat keputusan mengejut untuk adakan konsert ini.

"Keluarga besar Big Stage juga terkesan dan tentunya semua masih berada dalam keadaan terkejut terutama peserta. Jadi, kami selaku produksi anjurkan konsert ini bukan untuk meratapi, sebaliknya untuk kenang semula kebaikan arwah," katanya.

Emarina juga meluahkan rasa terkilan apabila ada beberapa individu tidak bertanggungjawab mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya mengenai arwah.

"Harap-harap netizen tidak menulis perkara yang tidak sepatutnya. Kalau tak ada perkara baik untuk diperkatakan, jangan cakap apa-apa.

"Kami sendiri pun berdepan kecaman apabila ada pihak yang mempersoalkan kenapa konsert 'tribute' ini perlu diadakan. Ramai tak tahu, pada hari Jumaat lalu, kami sudah adakan majlis tahlil secara tertutup," katanya.

Emarina juga memaklumkan, satu lagi majlis tahlil akan diadakan esok.

"Insya-Allah, kami mencari lokasi sesuai untuk mengadakan majlis tahlil memandangkan ada beberapa prosedur perlu diikuti.

"Pihak keluarga Sandra juga sudah dimaklumkan mengenai tahlil yang sudah kami buat, mengenai Konsert Sandra Dalam Kenangan dan majlis tahlil pada Khamis nanti," katanya.

Di acara sama, suasana hiba menyelimuti dewan acara konsert berlangsung dan sesekali, kamera menyorot wajah penonton dan kenalan rapat Sandra yang menitiskan air mata.

Pengacara, Sherry Alhadad dan Alif Satar juga tidak mampu menahan kesedihan apabila dapat kedengaran suara sebak mereka tatkala mengendalikan program itu.

Peserta, Qody Rani tidak mampu menahan kesedihannya ketika ditanya mengenai kenangan bersama arwah.

"Dia bukan orang yang banyak bercakap, tapi dia senang untuk mesra dan mudah didekati. Saya selalu bergurau dengan dia dan menjadi antara sahabat rapat saya dalam program ini," katanya.

Penyanyi yang juga juri Big Stage 2020, Dayang Nurfaizah turut meluahkan rasa kehilangannya.

"Apabila mengingati Sandra, saya akan terimbau kenangan ketika dia baru melangkah ke ruang uji bakat program Mentor Legend pada 2014.

"Pada ketika itu, dia nampak sangat bersahaja, tapi penuh dengan jiwa untuk berjaya mencipta nama dalam industri muzik," katanya.

Tidak pernah melawan kata, Dayang yang pernah menjadi mentornya dalam program itu juga berkongsi sikap Sandra yang sangat menghormati orang lain.

"Dia sentiasa menghormati orang lain dan tak pernah mengeluh apabila diminta melakukan sesuatu tugasan," katanya.

Konsert pada malam itu menyaksikan semua peserta termasuk juri tetap membuat persembahan. Bagaimanapun, seorang peserta, Nana Sheme tidak mampu meneruskan persembahannya.

"Kalau ikutkan perancangan, saya akan membuat persembahan namun saya belum cukup kuat lagi untuk membuat persembahan kerana masih rasa kehilangan.

"Untuk tidak merosakkan keindahan konsert untuk mengenang kebaikan Sandra, saya ambil keputusan untuk tidak teruskan dengan persembahan saya," katanya.

Di media sosial, ramai yang masih meluahkan rasa sedih dan mengenang Sandra, namun semuanya reda dengan ketentuan Ilahi.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 6:43am
d