rap

Seniman masih bantu Benjy

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) berkongsi masih menyalurkan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 42, atau Benjy yang kini menjalani hukuman penjara 11 tahun tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia akibat kesalahan dadah.

Timbalan Presiden Seniman,  Zuraini Kassim, berkata, pihaknya sudah memberi bantuan lebih RM10,000 sejak lebih setahun lalu bagi tujuan perbelanjaan harian dan ubat-ubatan Benjy di sana.

"Seniman masih bantu Benjy sejak tahun lepas lagi. Apabila kita dapat amaun kita hantar pada wakil di sana dan orang itu akan berikan sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, kalau kita bagi RM3,000, orang itu akan berikan dia RM300 sebulan.

"Cuma, apabila berlaku Covid-19, memang ada kekangan untuk bantu dia. Tapi, mana yang sampai pada Seniman kita akan salurkan. Kiranya, dah banyak juga kita bantu iaitu lebih RM10,000.

"Dari segi keadaan, dia sihat. Cuma perbelanjaan agak terhad. Dalam penjara di sana dia memang perlukan duit untuk 'survive', bukan saja untuk perbelanjaan harian tapi juga perubatan kena beli sendiri," katanya.

Menurut Zuraini, Benjy masih dikira ahli Seniman dan layak mendapat bantuan.

"Benjy pun masih dikira ahli, sebab itu kita bantu. Tapi itu lah, nak bantu banyak tak boleh juga, sebab kita ramai lagi ahli nak dibantu dan memerlukan.

"Insya Allah, kita juga akan usahakan untuk melawat dia apabila selesai kes Covid-19 ini. Tapi, kita kena kumpul dana dulu untuk ke sana. Sebab apabila ke sana, kita kena bawa sesuatu untuk dia," katanya.

Terdahulu, Benjy yang juga anak kepada pelakon Allahyarham Azean Irdawaty ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Deli Serdang Sumatera Utara pada April 2017 kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 4.5 gram dan dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 12:53pm
d