rap

Tak 'penat' hasil karya

Oleh Sudirman Mohd Tahir

NAMA Andi Bernadee sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat industri seni Malaysia.

Meskipun kerjaya seninya baharu berusia tiga tahun, penyanyi yang mesra disapa Andi ini berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki yang cukup terkenal pada masa kini.

Memulakan kerjaya seni pada 2017, populariti Andi mula naik mendadak menerusi lagu Satu Peluang, Donde dan Shimmy yang mengetengahkan genre reggaeton.

Lagu popular ini bukan sahaja menjadi siulan ramai malah berjaya mencipta fenomena tersendiri, sekali gus meletakkan Andi jauh berbeza dengan kebanyakan bintang Baru Nak Up (BBNU) lain.

Biarpun lebih dikenali dengan muzik reggaeton, Andi berjaya merealisasikan hasratnya untuk menyajikan kelainan menerusi single ketujuhnya berjudul Penat yang membawakan rentak balada. Kali terakhir Andi mempertaruhkan lagu balada menerusi single pertamanya, Tiada Lagi Maaf.

"Penat adalah ciptaan saya sendiri bersama komposer, Nur Iman dan Efry Arwis. Lagu ini berbeza dengan lagu balada yang berada di pasaran muzik tempatan ketika ini.

"Penat cuba mengetengahkan rentak balada yang berbeza. Lagu yang diberi susunan muzik melankolis ini mampu 'menjeruk' rasa sesiapa yang mendengarnya.

"Struktur lagu yang bermula minimalis dengan iringan piano dan gitar ini, kemudian diberi binaan dramatik sehingga penghujung lagu menjadikan lagu ini kedengaran sangat indah namun cukup menghibakan," katanya.

Turut menjadikan lagu ini sarat emosi adalah penyampaian Andi yang penuh penghayatan dalam melantunkan bait-bait lirik lagu ini yang berkisar mengenai perjuangan seseorang dalam mengharungi pahit manis kehidupan.

Mengulas mengenai taruhan terbaharunya itu, Andi berkata, dia mahu keluar dari zon selesa.

"Walaupun saya berjaya menempa nama melalui muzik reggaeton, namun kali ini saya nekad untuk mempertaruhkan lagu balada pula. Saya mahu keluar daripada zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik dalam karya saya.

"Memang ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada, namun karya kali ini mempamerkan jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan cita rasa muzik saya.

"Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun ia berbeza daripada lagu hits saya sebelum ini. Lagu ini saya tuju khas buat peminat yang setia menyokong saya selama ini. Saya tidak akan pernah penat menghasilkan karya terbaik untuk mereka. Muzik video rasmi Penat juga antara muzik video yang memakan kos tertinggi pernah dihasilkan setakat ini," katanya.

Single ini adalah hasil terbitan Warner Music Malaysia sudah boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan Apple Music bermula semalam.

Manakala muzik video rasmi pula boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 6:10am
d