rap

Jiwa warisan, langkah wiraan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERANAN Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) yang dianggotai pemilik syarikat rakaman kecil dan ditubuhkan untuk membela nasib penyanyi dan syarikat rakaman tempatan semakin diakui kerajaan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menjalinkan kerjasama dengan Irama menerusi program Muzik Dari Rumah Showcase yang menampilkan ramai artis.

Mereka juga terbabit secara langsung dengan perbincangan berkaitan masalah penggiat seni menerusi sesi dialog anjuran Kementerian KKMM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Atas komitmen yang ditunjukkan, KKMM sekali lagi memilih mengadakan kerjasama dengan Irama dalam program Tanjak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Bangunan KKMM, Putrajaya.

Setiausahanya, Sham Amir Hussain berkata, KKMM memilih Irama dalam program ini kerana mellihat dasar mereka yang dapat menbangkitkan budaya busana Melayu dalam kalangan penggiat seni serta masyarakat.

"Menteri memilih tanjak kerana tanjak adalah busana yang unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri. Kami juga diberi tanggungjawab memilih artis yang terbabit dalam program itu antaranya Datuk Malek Ridzuan, Datuk Hattan, Bagio Damasutra, Yana Yunus dan Thalia Rasul untuk menyerikan majlis. Noraniza Idris dipilih untuk mengadakan persembahan. Pemilihan ini bertepatan dengan tema program kerana dia penyanyi ikon irama Malaysia yang menjadikan acara ini lebih menarik," katanya.

Noraniza menyanyikan lagu Joget Pahang sambil diiringi tarian beberapa penari.

Tidak ketinggalan ditampilkan ialah persembahan silat.

Menurutnya, Irama mengharapkan semua pihak dapat mewujudkan program busana Melayu sebagai satu daripada tarikan pelancong asing ke Malaysia.

"Mungkin boleh diwujudkan kempen Bulan Bertanjak di seluruh Malaysia di mana pengunjung datang untuk memakai tanjak suatu masa nanti.

"Tanjak bukan sahaja untuk Melayu, malah Irama ingin serapkan kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk memakai tanjak," katanya.

Presiden Irama, Ayob Abd Majid mengakui mengalas kepercayaan yang diberikan kerana rasa tanggungjawab penggiat seni terhadap negara serta warisan nenek moyang.

"Secara tak langsung ia membuktikan Irama mewakili semua genre muzik.

"Idea yang dicetuskan Pegawai KKMM, Zahar Sani dan Bahagian Hal Ehwal Khas (Jasa) KKMM ini disambut baik oleh kami dan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah," katanya.

Sementara itu, biarpun negara kita mengejar kecanggihan sains, teknologi dan inovasi, Saifuddin meminta masyarakat tidak melupakan nilai tradisi.

"Kita kena ada kepentingan 3W - warisan, wawasan, kewiraan - untuk dijiwai setiap masyarakat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Program Tanjak Merdeka ini sangat signifikan supaya dalam kita membangunkan negara ini kita ada keseimbangan antara jiwa warisan, wajah wawasan dan langkah wiraan," katanya.

Turut hadir pada program ini ialah Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 6:22am
d