rap

Lady Gaga pernah murung

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI popular Lady Gaga mengakui pernah mengalami kemurungan dan kesukaran menjalani kehidupan sebelum pembikinan album Chromatica yang dilancarkan tahun ini.

Menurusi temubual bersama Billboard, Gaga mendakwa wujud kebimbangan dalam fikiran sehingga menganggu fokusnya.

Katanya, perkara itu terjadi ketika dia baru selesai menjayakan jelajah Joanne World Tour pada 2018.

"Setiap kali bangun tidur dan mengetahui saya adalah Lady Gaga, saya pasti tertekan. Saya cuba menerangkan satu demi satu ketika menjalani proses terapi, namun semakin dalam, semakin dekat dan semakin busuk rasanya.

"Bagi saya, kehadiran saya menimbulkan satu ancaman. Saya kerap memikirkan perkara-perkara yang mengerikan setiap hari," katanya.

Menurut Gaga, hasil bantuan produser dan teman-teman rapat, dia berjaya melawan masalah itu.

Bagaimanapun, Gaga mengakui ia masih belum cukup kuat untuk mengenal pasti identiti dirinya melalui muzik yang dihasilkan.

Pada masa sama, Gaga berkata, dia masih belum yakin atas pandangan orang kepadanya sekali gus menjadi salah satu aspek yang masih dipelajari hingga saat ini.

"Saya tidak tahu apa pendapat orang mengenai diri saya. Saya tidak tahu bagaimana saya dilihat. Sekiranya anda seorang anak seni dan ada sesuatu yang ingin anda berikan, tapi tidak tahu kenapa anda berbuat demikian, fokuslah pada hal itu kerana itu tidak salah," katanya.

Menerusi album Chromatica juga, Gaga menang besar pada Anugerah Muzik Video MTV 2020 (MTV VMA 2020) yang berlangsung secara virtual pada 31 Ogos lalu.

Gaga dinobat Artis Terbaik dan Anugerah Tricon, manakala lagu kolaborasinya bersama Ariana menerusi Rain On Me memenangi kategori Lagu Terbaik, Kolaborasi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 1:39pm
d