rap

Pelakon filem Tamil berkorban jaga isteri sakit

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Bekas pelakon filem dan drama tamil, G Mahendran, 49, kini hilang mata pencarian selepas isterinya jurusolek artis yang juga pelakon, M Praveen, 56, dipotong kaki akibat penyakit kencing manis.

Menurut Mahendran, isterinya itu mula dijangkiti kencing manis pada tahun 2016 ketika mereka bekerja dengan sebuah syarikat produksi.

"Akibat penyakit itu, kaki kiri isteri saya terpaksa dipotong setahun kemudian (2017) dan tahun berikutnya kaki kanan pula dipotong hingga paras peha akibat kuman sudah merebak.

"Sejak itu, saya tidak lagi bekerja dan balik ke Port Dickson. Hidup kami berubah tanpa pendapatan tetap.

"Selepas 30 tahun bekerja di Kuala Lumpur dengan pelbagai syarikat produksi filem, bermulalah era kesulitan kerana hilang pendapatan dan saya tidak boleh meninggalkan isteri tanpa penjaga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Arab di Taman Nesa di sini, tadi.

Katanya, mereka memiliki tiga anak perempuan berusia 21 hingga 27 tahun yang tinggal di Johor, Klang dan Kuala Lumpur.

"Mereka juga hidup susah dan kami tidak mahu menyusahkan mereka. Mujur ada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) menghulurkan sumbangan," katanya.

Mahendran berkata, dia ada memohon pencen ilat daripada PERKESO berikutan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

"Dengan duit itulah kami meneruskan hidup. Sewa rumah sudah tertunggak sejak tiga bulan lalu termasuk bil elektrik dan air.

"Saya juga berharap memperolehi pekerjaan di rumah... asalkan dapat gaji dan dalam masa sama menjaga isteri.

"Jari tangan kiri dia lemah dan menyukarkan pergerakan ke tandas. Tanpa bantuan saya, sukar untuk dia menguruskan diri," katanya.

Sementara itu, Ahli PERKASIH N9, Vira Hashim berkata, dia dimaklumkan Pengerusi PERKASIH N9 berhubung kesusahan hidup Mahendran.

"Isterinya memerlukan lampin pakai buang bersaiz L. Kerana tidak mampu membelinya dan mereka meminta bantuan PERKASIH N9.

"Hari ini saya mewakili PERKASIH N9 hadir menghantar sumbangan barangan makanan harian, lampin pakai buang dan sedikit wang tunai bagi meringankan beban mereka," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban mereka bolehlah terus ke akaun CIMB bank 7012043581 (Mahendran).

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 8:35pm
d