rap

Ade Firman meninggal dunia bukan sebab Covid-19

Oleh Agensi

Jakarta: Keluarga pelakon, Allahyarham Ade Firman Hakim, 32, membantah punca kematian pelakon itu pada Isnin lalu akibat Covid-19.

Ia kerana, hasil ujian swab yang baru diumumkan menyatakan aktor terbabit negatif Covid-19.

Perkara itu dinyatakan oleh adiknya, Dai Tirta kepada portal CNNIndonesia.com pada Jumaat lalu.

Dai turut menjelaskan abangnya memiliki sejarah penyakit asma sejak zaman remaja.

"Ade ada sejarah asma dari usia 10 tahun dan pneumonia dari 2012 yang menjadi penyebab kematiannya," kata Dai.

Pengurus Ade, Rully Lubis juga mengesahkan Ade dinyatakan negatif Covid-19 berdasarkan dua ujian swab.

Ade menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.20 petang.

Rully berkata, keadaan kesihatan Ade sebenarnya sudah merosot selepas demam sejak 11 September.

"Dia ada masalah di bahagian paru-paru dan dirujuk ke Hospital Besar Tarakan kerana hospital itu dijadikan tempat rujukan Covid-19 kan?," katanya.

Belum sempat keputusan ujian swab keluar, keadaan kesihatannya makin merosot dan meninggal dua hari kemudian.

Jenazahnya selamat dikebumikan dengan mengikut protokol pengebumian mangsa Covid-19 di Tanah Perkuburan Tegal Alur, pada Isnin.

Ade mula menempa populariti selepas melakonkan watak menteri kabinet Indonesia, Chaerul Saleh dalam filem Soekarno: Indonesia Merdeka, pada 2013.

Beliau turut berlakon dalam filem Guru Bangsa: Tjokroaminoto, pada 2015.

Antara filem lain dilakonkannya termasuk Ratu Ilmu Hitam, Sabyan Menjemput Mimpi dan #Malam Jumat: The Movie.

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 1:44pm
    d