rap

'Lantak pi lah nak kata apa' – Syatilla Melvin

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan Syatilla Melvin mengakui sudah lali dengan kecaman dan kritikan negatif terhadap dirinya.

Syatilla berkata, dia menganggap kata-kata negatif yang dilemparkan sejak mula bergelar selebriti menjadi pembakar semangat untuk maju ke hadapan.

Ia susulan dakwaan dia dan suaminya yang juga pelakon, Shaheizy Sam menggunakan foto berunsur lucah dan 'double meaning' di laman sosial bagi mempromosikan minuman jamu keluaran mereka.

"Sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni, saya menerima kecaman yang dilemparkan dengan tenang. Saya tukarkan ia kepada sesuatu yang positif.

"Saya tak mahu terasa kerana perkara ia sebenarnya menjadikan saya kuat dan membentuk diri saya yang ada sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik maskara Hijab Mata Kekasih menerusi jenama Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre baru-baru ini.

Menjawab dakwaan yang mengatakan dia menggunakan cara pemasaran murahan untuk menjual produk, Syatilla mengakui sengaja menggunakan foto pelbagai makna dan terpulang kepada orang luar untuk menerimanya.

"Saya dan Sam sengaja guna foto pelbagai makna dan kami sendiri dah rasakan pastinya ia mendapat perhatian ramai. Tetapi bagi kami, kalau mereka rasa perkara terbabit lucah atau negatif, maka secara automatik menjadi lucah dan negatif.

"Ia berbeza kalau ada yang memandangnya secara baik dan positif. Jadi, apabila ada isu, apa yang kami sampaikan berjaya. Sejujurnya, tak ada niat pun nak jadikan perkara ini nampak lucah, tapi kalau ada warganet nak rasakan ia negatif, kami sendiri tak dapat nak kawal pemikiran orang," katanya.

 

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 1:46pm
d