rap

Teringin nyanyi lagu tradisional ciptaan Ezra dan Hael

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Azizul Haqim mengaku dia amat mengagumi kreativiti gandingan Ezra Kong dan Hael Hussaini yang aktif menghasilkan lagu genre tradisional seperti Anta Permana untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Canggung nyanyian Wany Hasrita. 

   Azizul, 32, bekas juara program 3 Juara TV3 (kategori Irama Malaysia) dan Top 5 (Juara 5) program D'Academy Asia 3 terbitan Indosiar di Indonesia, berkata, dia sangat teringin membawakan lagu ciptaan Ezra dan Hael sekiranya berpeluang.

   "Sejujurnya saya memang nak sangat menyanyikan lagu mereka berdua kerana kedua-duanya sangat berbakat. 

   "Bagaimanapun, diakui perasaan rendah diri membataskan saya untuk mendekati mereka. Saya bukanlah sesiapa dibandingkan dengan penyanyi lain di negara kita.

   "Mungkin agak sukar kerana saya bukanlah penyanyi yang dikenali dalam arus perdana dan hanya dikenali oleh kelompok penyanyi tradisional," katanya kepada Harian Metro.

   Menurutnya, dia juga bimbang perlu membayar jumlah yang tinggi sekiranya mahu mendapatkan lagu daripada Ezra dan Hael.

   "Itu salah satu faktor yang terfikir oleh saya. Populariti mereka meningkat apabila lagu-lagu ini mendapat permintaan daripada peminat.

   "Saya pun faham dari sudut itu dan kena akur. Kesukarannya pun begitu. Lagipun untuk buat lagu genre irama Malaysia, kosnya memang tinggi dan bukan kecil.

   "Ia kerana, kalau kos kecil penghasilannya jadi kurang bermutu. Perkara ini tak boleh dikompromi jika nak menghasilkan karya yang baik," katanya.

   Azizul yang juga Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 berkata, dia memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi memperkenalkan namanya kepada peminat terutama golongan muda.

   "Sebenarnya saya selalu diundang buat persembahan untuk majlis perkahwinan  dan makan malam eksklusif sekitar ibu kota.

   "Permintaan untuk konsep persembahan tradisional memang tinggi. Cuma, ia tergendala seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

   "Namun, ada kala tetamu yang hadir terperanjat kerana masih terdapat kumpulan tradisional yang aktif di negara kita. Cuma untuk pasaran utama memang tiada publisiti sangat," katanya.

 

 

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 7:25pm
d