rap

Cinta pandang pertama

Oleh Georgie Joseph

PERKENALAN yang singkat menerusi Instagram dan perbezaan usia lima tahun, bukan penghalang buat pelakon Raja Afiq, 26, dan anggota polis, Soffwany Yusuf, 31, mengecap kebahagiaan sebagai suami isteri.

Disatukan pada Ahad lalu, ternyata masing-masing tidak mahu menunggu lama untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

Menurut Raja Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali dia sendiri tidak mahu menangguhkan hasrat murni berkenaan.

Baginya, dia sudah sedia untuk menjalani kehidupan sebagai suami apa lagi Soffwany atau nama sebenarnya Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff memang wanita dicarinya sebagai isteri. Justeru, dia enggan melengahkan hasrat itu.

"Kalau ikutkan, saya sudah menghantar mesej peribadi kepada Soffwany sejak Disember tahun lalu. Itupun, sekitar awal tahun ini baru saya mendapat balasan daripadanya dan dari situlah kami mendalami isi hati masing-masing.

"Apabila sudah kenal dan bercinta, saya rasa dialah wanita dan jodoh terbaik buat saya. Disebabkan itu, saya tidak mahu lengahkan hasrat untuk memperisterikannya meskipun kami baru bercinta.

"Bagi saya, cinta itu adalah proses berpanjangan dan selepas kahwin pun memang kena sambung bercinta juga. Syukur, akhirnya kami selamat bergelar suami isteri biarpun perancangan tarikh sedikit terganggu," katanya.

Berkongsi lanjut, pelakon Sayangku Kapten Mukhriz itu mendedahkan mereka sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada bulan lalu. Namun begitu, situasi pandemik yang melanda sekarang membuatkan perancangan dibuat sedikit terganggu.

Bagaimanapun, Raja Afiq mengakui dia tidak melihat perkara itu menjadi halangan untuk mereka meneruskan niat mempercepatkan perkahwinan. Katanya, dia bersyukur apabila majlis perkahwinannya turut mendapat penajaan di saat akhir.

"Selepas bertunang Mac lalu, kami terus rancang untuk berkahwin secepat mungkin iaitu pada Ogos. Namun begitu, kami terpaksa menunda tarikh itu disebabkan banyak hal perlu diuruskan selepas berlaku perubahan tidak dijangka.

"Antaranya kami tidak mendapat lokasi untuk adakan majlis disebabkan banyak tempat sudah ditempah. Mujur, dapat juga penajaan daripada sebuah pengendali perkahwinan untuk mengadakan majlis di tempat mereka," katanya.

Afiq turut berkongsi antara faktor dia jatuh hati dengan isterinya kerana kelembutan serta keperibadian yang menyenangkan. Dia mengakui, pertama kali berjumpa terus terpikat dengan peserta program Suara Viral itu.

"Saya jarang jumpa perempuan lembut dan terus tertarik. Apa lagi, menyenangkan hati. Dia (isteri) pun faham dengan kerja saya dalam industri menyebabkan banyak perkara membuatkan kami serasi," katanya.

Soffwany pula berkata Raja Afiq adalah seorang lelaki yang sangat matang meskipun usianya jauh lebih muda. Disebabkan perwatakan yang begitu menyenangkan, dia lantas yakin untuk menerimanya sebagai teman hidup.

"Sebelum ini, saya memang biasa berkenalan dengan lelaki yang usianya lebih muda daripada saya. Tapi Afiq ini, jenis lelaki yang sangat bertanggungjawab dan matang pada usia," katanya.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah menjadi suami isteri pada jam 9 pagi, Sabtu lalu. Pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohamad Yusoff Lebai Hamzah di hadapan 18 tetamu.

Pada majlis itu juga , Raja Afiq menyerahkan wang hantaran berjumlah RM15,000, berserta mas kahwin sebanyak RM1,101, termasuk lima dulang hantaran dan dibalas dengan tujuh daripada pihak perempuan.

Sebaik selesai majlis pernikahan, pasangan itu turut dirai di sebuah dewan di Plaza Jelutong. Apapun, pasangan ini dijangka mengadakan majlis bersanding pada Januari tahun depan sama ada di Kuala Lumpur atau Ipoh.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:45am
d