rap

Kes mahkamah buat Vanessa murung

Oleh Agensi

Jakarta: Penyanyi dan pelakon Vanessa Angel, 27, mengalami kemurungan selepas kes mahkamah membabitkan dirinya masih berlanjutan sejak tahun lalu.

Vanessa pernah ditahan selepas disabitkan kes kandungan tidak bermoral dan terbaru membabitkan kes pemilikan ubat psikotropik masih berjalan.

Penasihat undang-undang yang mewakili Vanessa, Arjana mendedahkan penyanyi itu ternyata berdepan gangguan emosi sehingga kemurungan.

"Tertekannya dia sewaktu saya bercakap dengannya. Dia menangis dan menderita beban yang sangat berat," katanya.

Arjana berkongsi, kemurungan yang dihadapi Vanessa juga berpunca daripada masalah hubungan dengan pihak keluarga suaminya, Bibi Ardiansyah.

"Dia memiliki hubungan yang kurang baik dengan keluarga mentuanya sehingga terpaksa berjumpa doktor. Hal itu nampaknya masih berlanjutan sekarang," katanya.

Sementara itu, perbicaraan lanjut kes pemilikan psikotropik Vanessa diadakan hari ini. Sidang itu sepatutnya diadakan untuk mendengar keterangan saksi namun saksi berkenaan tidak hadir.

Terdahulu, Vanessa disabitkan kesalahan pemilikan psikotropik selepas didapati menggunakan dadah dalam ubatan xanax yng diambilnya. Dia mendakwa menggunakan ubat itu selepas menghidap penyakit keresahan dan insomnia.

 

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 10:22am
d