rap

Gbob makin stabil

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Keadaan pelawak dan pelakon Gbob, 33, kini semakin stabil selepas menjalani pembedahan memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 12 September lalu.

Isterinya, Siti Aisyah Wahiddin, 38, berkata, Gbob atau nama sebenarnya Hamizi Hashim kini berehat di rumah bagi memastikan proses penyembuhannya berjalan lancar.

"Suami dibenarkan pulang pada 14 September lalu. Bagaimanapun, dia terkena serangan sawan tiga kali dalam masa sehari dan dimasukkan ke zon kritikal Hospital Serdang keesokan harinya.

"Pada mulanya ia mungkin berpunca akibat kesan pembedahan yang mengalami pendarahan. Namun, selepas pemeriksaan, doktor kata kesan darah itu tak berbahaya.

"Apapun Gbob masih perlu dipantau kerana kita tidak boleh jangka bila serangan akan berlaku," katanya. Gbob terjatuh dalam bilik air di rumahnya pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak. Doktor melakukan pembedahan di tempurung kepalanya bagi membuang darah beku dan membenarkan dia berehat di rumah untuk proses pemulihan.

Menurut Aisyah, Gbob dibenarkan keluar pada Khamis lalu dan perlu makan ubat sawan berterusan.

"Beberapa rakan artis antaranya Che Mat dan Sharnaaz Ahmad ada menghubunginya bagi bertanya khabar dan dia nampaknya gembira.

"Alhamdulillah setakat ini dia sudah tiada serangan sawan. Apabila dia makin sihat, Gbob akan dibawa menjalani fisioterapi bulan depan.

"Ingatan semakin pulih tapi emosinya belum stabil lagi," katanya. Ditanya berkenaan bantuan yang diterima, Aisyah berkata, hanya Sharnaaz yang menghulurkan sumbangan peribadi.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula dalam proses untuk meluluskan bantuan buatnya. Sebelum pembedahan, Gbob dikunjungi pelakon Didie Alias program Merisik Khabar dan menghulurkan sumbangan peribadi," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 4:40pm
d