rap

Ikhwan Fatanna terharu

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Ikhwan Fatanna tersentuh apabila lagu barunya, Ya Rasul bukan sahaja mencuri perhatian pendengar beragama Islam, tetapi juga yang bukan Islam.

Lebih mengharukan, dia juga menerima kiriman emel daripada individu bernama Li Ming yang meminta izin untuk menghasilkan semula lagu Ya Rasul dalam versi piano.

"Allahuakbar! Menangis terharu saya. Orang bukan Islam boleh tersentuh dan rasa dimotivasi dengan lagu Ya Rasul? Begitulah rahmat dan kasih sayang Rasulullah yang begitu indah," katanya.

Ikhwan yang juga pencipta lagu dan penulis lirik lagu itu juga mendoakan supaya individu itu dikurniakan hidayah.

"Moga Li Ming dikurniakan hidayah daripada-Nya. Harap, anda dapat kongsikan lagu ini supaya sampai kepada lebih ramai pendengar," katanya.

Dalam kiriman emel yang diterima Ikhwan, individu itu mengakui lagu Ya Rasul membawa aura positif selain memiliki susunan melodi yang indah.

Dia juga meminta pendapat Ikhwan sebelum meneruskan niatnya untuk membuat versi piano itu kerana tidak mahu menjejaskan imej lagu itu.

Selain Ikhwan yang bertindak sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik, lagu Ya Rasul juga mendapat sentuhan komposer bersama, Wan Saleh dan kini video muziknya sudah ditonton lebih 3,000 tontonan sejak dilancarkan tiga hari lalu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:04pm
d