rap

Hardy James Bond baharu?

Oleh Georgie Joseph

WATAK ikonik James Bond memang menjadi idaman ramai pelakon di dunia. Menjadi francais filem perisikan paling prolifik, cukup bertuah siapa juga yang diberikan mandat itu.

Paling terbaru, Daniel Craig berjaya menghidupkan watak itu dengan tersendiri. Dalam beberapa sekuel dijayakannya, ternyata percaturan produksi tepat menawarkan watak itu.

Bagaimanapun, spekulasi watak itu bakal digantikan pelakon lain sejak 2015 terus menjadi teka-teki. Apatah lagi, Craig pernah berseloroh dia tidak sanggup lagi menjayakan sekuel akan datang.

Baru-baru ini, spekulasi siapa James Bond yang baharu kembali hangat apabila nama Tom Hardy dibangkitkan. Sekali gus, namanya menjadi koleksi terbaru dalam senarai pengganti akan datang.

Selain Hardy, turut disenaraikan adalah James Norton, Sam Heughan, Tom Hiddleston, Richard Madden, Jack Lowden, Michael Fassbender dan Idris Elba.

Mengulas mengenai spekulasi itu, Hardy, 43, berkata, dia tidak mahu bercakap mengenai perkara itu kerana percaya peluang itu mungkin akan hilang begitu saja. Dia juga ingin menjaga persaudaraan sesama pelakon lain.

"Kalau saya menyebut mengenainya, ia hilang. Tahu tak, ada perumpamaan dalam persaudaraan kami sesama pelakon. Kalau anda bercakap mengenainya, secara automatik anda tersingkir daripada perlumbaan," katanya yang juga pelakon filem Venom.

Bintang War & Peace, Norton, 35, pula mengakui ada kontranya jika dia betul-betul akan melakonkan watak Bond itu.

Menurutnya, ia bermakna dia perlu buat pengorbanan besar.

"Kalau saya diberikan watak itu, saya terpaksa melupakan watak-watak saya dalam filem indie. Pastinya hakikat itu susah untuk saya telan," katanya.

Bintang The Outlander, Heughan, 40, pula mengakui sebagai warga Scotland, ia pastinya satu penghormatan terbesar buat diri dan negaranya.

"Semestinya ia adalah watak impian untuk menjadi Bond berdarah Scotland. Siapa tidak mahu melihat Bond dari Scotland selepas Sean Connery," katanya.

Hiddleston, 39, pula dinamakan antara yang berpotensi selepas timbul khabar angin dia berjumpa penerbit Bond, Barbara Broccoli beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, dia cuma mampu berharap rezeki itu berpihak buatnya.

Bintang Game of Thrones, Madden, 34, berkata, dia terharu apabila ada yang menyebut namanya layak menerima watak itu.

Dia tidak menafikan pasti berbesar-hati jika terbabit filem itu.

"Saya lebih daripada terharu apabila menjadi sebutan, orang mempertimbangkan nama saya untuk watak itu. Ia satu perkara yang sangat menakjubkan untuk terbabit," katanya.

Bintang Dunkirk, Lowden, 30, pula menyifatkan Craig adalah pelakon yang sangat sempurna menjadi Bond. Dia tidak kisah jika pelakon itu masih memegang watak berkenaan sehingga usianya 85 tahun.

"Saya adalah peminat setia Daniel Craig dan merasakan dia tidak patut berhenti melakukannya. Bond semakin berusia adalah idea yang sangat bijak dan Daniel layak lakonkannya sehingga tua," katanya.

Sementara itu, sekuel terbaru Bond, No Time To Die bakal ditayangkan pada November ini selepas ditangguhkan akibat Covid-19.

Filem itu sepatutnya ditayangkan April lalu.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 6:20am
d