rap

'Nak mengaku jutawan, hak masing-masing'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor menjelaskan beliau menghormati tindakan segelintir selebriti muda di negara ini yang berani tampil mengaku mereka kini bergelar jutawan.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 53 ditemui, berkata mengaku jutawan itu hak masing-masing dan tak dinafikan kini makin ramai selebriti muda yang menceburi perniagaan.

"Pada saya terpulang mereka untuk mengaku diri sudah bergelar jutawan kerana berjaya dalam perniagaan diusahakan. Untuk saya, cukuplah hanya dikenali ahli perniagaan yang aktif dalam bisnes.

"Gelaran jutawan atau tidak itu, biarlah kerana difinisi saya untuk bergelar jutawan, seseorang itu sudah pasti memiliki wang tunai atau simpanan berjumlah jutaan ringgit.

"Untuk saya, setakat ini masih ada banyak hutang perlu diselesaikan dan tak sesuai rasanya dengan gelaran (jutawan) berkenaan. Lagi pun, apabila berani mengaku sudah jutawan semestinya ada pro dan kontra.

"Dari aspek pro, boleh kita lihat kejayaan sudah  jutawan itu mampu dijadikan inspirasi oleh orang ramai  untuk lebih berusaha hingga berjaya. Manakala, kontranya ialah perihal keselamatan yang memerlukan kita lebih berhati-hati dan waspada," katanya.

Rosyam yang masih aktif berlakon lagi memaklumkan, peluang selebriti masa kini untuk mendapat kehidupan menyenangkan agak mudah kerana ada pelbagai cabang platform untuk mereka menjana pendapatan.

Katanya, berbanding orang lama seperti dirinya dahulu lebih mencari peluang untuk dipilih sebagai duta produk oleh rangkaian syarikat terkemuka sebagai usaha menambah pendapatan.

"Sekarang, jika seseorang selebriti itu rajin berusaha pasti dia akan berjaya. Umpamanya, menceburi perniagaan, aktif di platfom media sosial serta digital, termasuk ada ramai peminat.

"Saya dapati, buat  'review' produk di Instagram pun selebriti dibayar. Begitu juga, kandungan video di saluran YouTube. Pendek kata, cabang untuk peroleh pendapatan lain itu memang ada banyak," katanya.

Kini, Rosyam menerusi syarikat produksinya, Suhan Movies & Trading tampil menerbitkan filem baharu berjudul Juang dengan kerjasama dua produksi lain iaitu Tropical Films dan The Film Engine.

Memaklumkan peruntukan filem itu dengan bajet besar RM6 juta, Rosyam berkata ia karya yang diyakini akan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia kerana kita semua melalui pengalaman 'berperang' memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda negara pada Mac lalu.

Cetusan ilham filem Juang ini sepenuhnya diangkat daripada kisah benar membabitkan perjuangan kita bersama berisan hadapan seperti pertugas kesihatan, polis, tentera, penghantar makanan dan kakitangan syarikat penerbangan sepanjang penularan Covid-19.

Bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi, tiga pelakon utama dipilih ialah Zul Ariffin, Zizan Razak dan Jack Lim. Manakala, tanggungjawab pengarahan akan digalas enam sutradara berkaliber iaitu Eirma Fatima, Aziz M Osman, Matt Lai, Kabir Bhatia, Osman Ali dan Yusry Abdul Halim dengan membabitkan 100 pelakon dan 200 tenaga kerja produksi.

 

 

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 12:54pm
d