rap

Kisah benar wira negara

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS filem Balistik ditayangkan pawagam pada 2014, pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor seakan menyepi daripada penerbitan filem.

Menerusi produksi Suhan Movies & Trading miliknya, Rosyam dilihat lebih banyak memberi tumpuan pada menerbitkan drama dan telefilem.

Kini, sesudah enam tahun berlalu Rosyam 'kembali' terbuka hati untuk menerbitkan karya baharu buat penggemar filem tempatan.

Lebih berani, dia berjaya menjalin kerjasama dengan dua lagi produksi iaitu Tropical Films milik Matt Lai dan The Film Engine (Jack Lim).

Malah, menariknya lagi tiga produksi hebat ini sanggup bergabung bagi merealisasikan projek filem mega berjudul Juang.

Bersua Rosyam pada majlis pelancaran filem Juang baru-baru ini, dia memaklumkan ilham untuk karya berkenaan diperoleh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac lalu.

"Sebaik negara dilanda penularan pandemik Covid-19 tanpa diduga, kerajaan terus mengambil langkah segera melaksanakan PKP.

"Ketika tempoh itu, semua rakyat Malaysia diminta duduk di rumah dan tidak boleh keluar bekerja seperti biasa kerana rantaian Covid-19 perlu diputuskan.

"Selama tiga dekad aktif sebagai anak seni, ketika PKP itulah saya bercuti paling lama dan banyak masa dihabiskan di rumah bersama keluarga.

"Namun, di sebalik 'peperangan' Covid-19 yang berlaku itu saya dapati ada beberapa pejuang barisan hadapan yang gagah menggadai nyawa," katanya.

Menurut Rosyam, dia sangat kagum dengan keberanian pejuang barisan hadapan terbabit iaitu petugas kesihatan, polis, tentera, penghantar makanan dan kakitangan syarikat penerbangan.

"Jadi, saya mendapat ilham untuk menghasilkan satu filem berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh kita semua akibat Covid-19 ini yang bakal menjadi sejarah dunia.

"Ditambah lagi, bagi menghargai segala jasa dan sumbangan bermakna yang sudah dilakukan pejuang barisan hadapan ini untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

"Apapun, menyedari kos menerbitkan filem sebegini agak besar, maka saya berusaha mendapatkan kerjasama rakan yang berminat.

"Sebaik berbincang dengan Matt dan Jack, kami mencapai kata sepakat untuk bergabung dan berusaha bersama penerbitan filem Juang hingga menjadi kenyataan," katanya.

Sehubungan itu, projek filem Juang dijangka akan menelan belanja pembikinan sebanyak RM6 juta dan diarahkan oleh enam sutradara berkaliber.

Barisan pengarah yang terpilih itu adalah Matt Lai, Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali dan Eirma Fatima. Malah, tiga pelakon utama sudah dipilih ialah Zizan Razak, Zul Ariffin dan Jack Lim.

Justeru, selain bajet besar dan dibarisi pengarah serta pelakon hebat tanah air, Filem Juang juga bakal melakar sejarah apabila dibintangi 100 pelakon dan 200 tenaga kerja produksi.

Filem ini juga akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi kerana sasaran tayangan di pawagam dijangka dapat dibuat pada awal tahun depan.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 6:37am
d