rap

Cincin tanda persahabatan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: "Itu adalah cincin persahabatan."

Itu jawapan pelakon, Syazwan Zulkifli ketika ditanya mengenai cincin yang diberikannya kepada pelakon, Wan Sharmila baru-baru ini. 

Syazwan juga menafikan spekulasi kononnya kedua-dua mereka sedang hangat bercinta. 

"Saya tak selesa kalau dikatakan bercinta sebab kami cuma berkawan. Lagi pula, cincin itu adalah untuk tujuan ulasan satu jenama aksesori," katanya kepada Harian Metro. 

Syazwan juga meminta peminat menyokong kerjaya kedua-dua mereka tidak kiralah sama ada dia dan Wan Sharmila yang mesra disapa sebagai Lala akan bersama atau tidak. 

"Kalau mereka betul-betul menyokong kami, berilah sokongan supaya kami lebih maju dan sepenuhnya. Tak kiralah, sama ada satu hari nanti saya akan berjodoh dengan dia atau tidak," katanya. 

Sementara itu, Wan Sharmila pula tidak menganggap harapan dan impian peminat untuk melihat mereka bersama itu sebagai sesuatu yang merimaskan. 

"Tak boleh juga nak cakap rimas sebab saya faham bahawa ini adalah asam garam dalam dunia artis. Jadi, saya terima dengan hati terbuka dan seronok membaca komen peminat di media sosial," katanya. 

Lakonan dan hubungan persahabatan mereka menuai spekulasi dalam kalangan peminat yang ingin melihat mereka bersama lebih-lebih lagi selepas bergandingan dalam drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku. 

Lebih menguatkan spekulasi itu adalah apabila Sharmila baru-baru ini memuat naik video berudurasi 2 minit 3 saat di Instagramnya menunjukkan Syazwan menghadiahkannya cincin. 

Video itu ditonton lebih 600,000 di platform media sosial itu dan menerima ribuan komen daripada warganet. 

 

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 2:47pm
d