rap

Mira Filzah kongsi nasihat pada calon SPM

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah muncul secara dalam talian pada seminar, Last Ultra 100%, Mira anjuran sebuah pusat tuisyen yang melantiknya sebagai duta bagi berkongsi nasihat dan menyuntik semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Mira, 26, yang hanya meluangkan masanya selama 20 minit diakui cukup bermakna untuk membantu memberi galakan persediaan kepada calon-calon SPM yang terbabit pada seminar berkenaan.

Ujar pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan ini lagi, dia juga sedia maklum situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini sedikit-sebanyak turut melemahkan semangat calon peperiksaan untuk belajar.

"Apapun, kalau rasa tertekan ketika belajar, saya ingatkan jangan paksa diri dan berehat seketika. Nak belajar dan buat ulang kaji ini kena tenang, kalau serabut tak ada guna juga.

"Nak serap ilmu perlu dalam keadaan selesa. Jadi, cuba buat perkara yang boleh hilangkan tekanan itu atau saat otak tepu. Bagi saya, ada bagusnya seimbangkan dengan perkara lain," katanya.

Menurut 'pengantin baru' ini, dia juga ada membaca komen pelajar yang mengikuti seminar dianjurkan berkenaan yang memaklumkan jika berasa tekanan, pasti menonton drama Korea.

"Saya balas semula padanya, kalau boleh lebih baik elakkan. Ini kerana, dibimbangi nanti tengok sampai berjangkit-jangkit ke lebih banyak episod pula.

"Malah,  jika perlu cuba hanya lelapkan mata atau tidur seketika. Bagaimanapun, elak tidur waktu petang selepas Asar sebab, otak dan badan pasti jadi lagi penat," katanya.

Ujar Mira lagi, sekiranya memang rasa badan dan otak terlalu penat sangat, boleh pejam mata sekitar waktu tengah hari sebelum masuk Zohor.

Selain itu, Mira berkata sebagai calon peperiksaan juga cuba elakkan diri daripada ketagih dengan dunia digital termasuk penggunaan telefon bimbit.

"Saya ingatkan, belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital. Memang sekarang kita sudah terbiasa memegang telefon bimbit untuk melayari itu dan ini dengan pelbagai kemudahan aplikasi hingga berjam lamanya.

"Lebih bagus, jika ambil masa untuk menikmati udara di luar dengan bersenam atau joging. Pada masa sama, terus menjaga penjarakan fizikal ketika melakukan perkara digemari," katanya.

Ujar pengacara Nona di TV3 ini, yang pasti bagi calon SPM beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga, usah lupa minta restu dan doa kepada ibu bapa serta peluk mereka dengan kasih sayang.

Terdahulu, pada 3 September lalu, Mira selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Wan Emir Astar dalam majlis perkahwinan meriah yang berlangsung walau pun mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 4:26pm
d