rap

Elly sedia dibanding

Oleh Najiy Jefri

Siapa sangka selepas hampir dua dekad mempertaruhkan bakat dalam industri hiburan tanah air, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein kini mempunyai program dengan nama sendiri iaitu Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom.

Elly Mazlein atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, berkata, dia tidak menyangka apabila rezekinya hingga kini tidak putus dan masih dimurahkan oleh Allah.

Bagaimanapun, harus diakui rezekinya makin kencang sebaik menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016 lalu.

Bahkan, wanita cekal yang mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom ini sering muncul dalam pelbagai program TV sehingga menempa populariti semula.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana rezeki yang diperoleh selama ini tidak pernah putus dan sentiasa ada.

"Saya juga tak pernah memilih tawaran, asalkan bersesuaian. Bagi saya, paling utama dapat menjalankan kerja dengan seikhlas hati.

"Syukur, selepas 20 tahun terbabit dalam bidang seni saya tak sangka akhirnya dapat juga peluang memiliki program sendiri iaitu Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom.

"Ini adalah pengalaman pertama saya mengendalikan rancangan berbentuk masakan. Saya gementar tetapi teruja walaupun sudah biasa ke dapur," katanya.

Terdahulu, Elly hadir pada majlis sidang media dan menandatangani persefahaman program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom bersama Mache All Star United Sdn Bhd dan Minyak Masak Kijang Gold di Bangi, baru-baru ini.

Program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom akan disiarkan kepada penonton sepanjang Ramadan pada tahun depan di RTM.

Ujar Elly lagi, dia juga sudah bersedia jika ada peminat mahu membandingkan rancangan Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom dengan program masakan lain.

"Saya sedar, mesti ada perbandingan. Tapi, saya memandangnya dari sudut positif. Beri program ini peluang dan jika ada komen yang membina, saya terima dengan berlapang dada.

"Saya bersedia dan tak kisah dibandingkan kerana sekurang-kurangnya dapat juga belajar untuk memperbaiki apa yang kurang.

"Apapun, saksikan kelainan yang bakal kami bawakan. Selain menjemput artis undangan, ia juga dimuatkan cabaran dalam setiap episod untuk memeriahkan lagi kandungan program," katanya.

Tambah Elly, dia tiada formula khusus apabila namanya terus menjadi pilihan penerbit dan stesen TV, sebaliknya, sentiasa mengamalkan sikap merendah diri serta tidak meminta bayaran mahal atau 'demand'.

"Saya tak tahu apa yang membuatkan stesen TV suka dan selesa bekerjasama. Pastinya, saya gembira apabila diterima baik oleh mereka. Mungkin juga, sikap saya yang tidak terlalu 'demand' tinggi.

"Apapun, saya memang tak suka meletakkan harga yang tidak masuk akal. Biarlah ada tolak ansur dan harga berpatutan supaya jalinan kerjasama berpanjangan," katanya.

Kata ibu seorang anak ini, dia juga menolak sikap memilih bulu. Tuturnya, kena selalu ingat dari mana asal usul dan atas sebab itu dia tidak kisah menerima tawaran bekerja dengan RTM kerana kerjayanya pernah bermula di situ.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 6:55am
d