rap

'Hidup lebih lengkap selepas kahwin'

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Fendy Bakry mengakui kehidupan peribadinya kini lebih tersusun dan terurus di samping isteri tercinta.

Fendy berkata, sepanjang hampir sebulan bergelar suami dia juga bersyukur dan gembira diberikan isteri yang memahami kerjaya seninya.

"Alhamdulillah, seronok sejak bergelar suami. Bangun pagi, ada orang dekat sebelah. 

"Saya akui kehidupan saya selepas berkahwin ini lebih tersusun. Syukur ada seorang isteri yang memahami kerjaya saya," katanya ketika ditemui pada Havoc Food Festival 3.0 yang mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam yang diadakan di Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu.

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 itu menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Fendy, dia mula mengenali isterinya buat pertama kali ketika sama-sama menyertai karnival teater di Kedah pada tiga tahun lalu.

"Pertama kali kami kenal ketika sama-sama sertai karnival teater di Kedah. Tak ada istilah bercinta atau nak keluar makan dan tengok wayang. Hanya kawan biasa.

"Kami pun jarang berhubung, mungkin sebulan sekali. Terdetik hati saya nak melamar dia sebab nampak ada ciri kebaikan yang ada pada dia. Lagipun usia saya dah 32.

"Sudah sampai masa untuk berumah tangga. Jadi saya tanya pada dia 'kau nak kahwin tak dengan aku'. Kami uruskan persiapan nak kahwin pun dalam masa dua bulan saja. Kiranya, kami ini bercinta selepas kahwin," katanya yang bernikah dengan Ayu pada 30 Ogos lalu.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 12:37pm
d