rap

Gigih bukti kemampuan

Oleh Najiy Jefri

Kemunculan pelakon kacak berbangsa Cina dikenali Daniel Fong dalam drama Melayu semakin mendapat perhatian apabila menerima tawaran demi tawaran daripada pihak produksi.

Siapa sangka, pembabitan awal dalam telefilem Wish List Raya dan drama Nafas di ntv7 memberi ruang kepada jejaka berusia 27 tahun itu terus mengorak langkah.

Terbaharu, Daniel diintai pula untuk berlakon drama 26 episod berjudul Derhaka Cinta Jebat terbitan Suhan Movies Sdn Bhd yang disiarkan TV1.

Selain itu, Daniel juga baharu saja selesai menjalani penggambaran drama 26 episod berjudul Delima arahan Khalid Nadzri.

Daniel berkata, dia gembira apabila pembabitannya semakin diterima dalam pasaran Melayu dan berharap kehadiran dirinya dapat menambah warna dalam industri seni.

"Saya cuba manfaatkan setiap tawaran dengan sebaik mungkin. Saya berasakan pasaran Melayu lebih menjamin masa depan dalam bidang ini. Bukan saja besar, tapi banyak peluang boleh saya dapat.

"Buktinya, saya dapati beberapa rakan artis berbangsa Cina berjaya menempatkan diri sekali gus terus dikenali dalam kalangan peminat Melayu.

"Pada masa sama, saya sedar sebagai pelakon perlu muncul dalam projek yang bagus demi kelangsungan kerjaya. Jadi, saya harus bekerja keras untuk memajukan diri.

"Biarpun langkah ini bukan mudah tapi saya perlu berusaha gigih dan perlu membuktikan kemampuan bakat diri dalam bidang seni," katanya.

Tambah Daniel, meskipun kehadirannya masih kurang dikenali ramai, namun dia sentiasa percaya masa yang tepat pasti akan tiba juga.

"Saya tidak suka terburu-buru dalam merebut peluang. Saya percaya kalau sudah tertulis rezeki, pasti masa itu akan tiba.

"Lagipun, masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu saya perbaiki supaya nama disebut-sebut sebagai pelakon yang berbakat.

"Saya tidak mahu menjual rupa paras semata-mata. Saya ingin dikenali kerana bakat disebabkan amat meminati bidang ini," katanya.

Biarpun memiliki pendidikan yang baik dan menjamin masa depan, namun kecintaan terhadap bidang seni membuatkan Daniel ingin mencuba nasib.

""Saya belajar di Melbourne, Australia selama dua tahun. Pada 2016 lalu, saya pulang ke tanah air dan bekerja sebagai ejen insurans selama setahun.

"Selepas itu, saya mencuba nasib dengan menghadiri sesi uji bakat drama web siri berjudul May I Love You. Dari situ, saya terpilih dan diberikan watak utama kedua.

"Saya juga ada menyertai sebuah pertandingan nyanyian di China, namun disebabkan kontrak yang perlu diikat terlalu lama maka hasrat itu dilupakan.

"Cukuplah saya membina nama di sini saja. Lagipun saya lebih selesa dapat tengok ibu bapa depan mata daripada tinggal berjauhan dengan mereka," katanya.

Daniel berkata, dia beruntung apabila keputusan diambilnya itu mendapat restu keluarga.

"Mereka (ibu bapa) sangat menyokong dan tak ada sebarang halangan. Apatah lagi, sebagai anak tunggal dalam keluarga, jadi mereka sentiasa inginkan yang terbaik untuk saya.

"Lagipun, kedua-dua orang tua saya juga tahu perkembangan pasaran Melayu yang bagi mereka jika rajin pasti banyak peluang menanti," katanya.

Mengakui cabaran yang perlu dihadapi adalah kesukaran bercakap bahasa Malaysia dengan fasih, Daniel berkata dia akan cuba berlatih dan mengikuti kelas.

"Sayang sangat rasanya, kalau pada usia muda ini saya tidak berusaha terokai kerjaya ini. Saya mahu belajar selok-belok industri seni.

"Sekarang saya kerap mendengar lagu dan menonton drama Melayu. Malah, saya juga selalu bercakap bahasa Malaysia dengan pengurus, Jamal.

"Saya harap minat terhadap dunia lakonan akan membawa hasil yang terbaik suatu hari nanti kerana saya benar-benar mahu buktikan kemampuan diri," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 6:50am
d